Sunday 30 October 2016

KEPIMPINAN BERTERASKAN QALBU MELALUI PENDEKATAN PEMBANGUNAN INSANIAH

Tugasan SYW 502
Suriadi bin Kamaruding
P-ISM0054/15
Calon Sarjana Sains Kemasyarakatan
(Pengurusan Pembangunan Islam)


KEPIMPINAN BERTERASKAN QALBU MELALUI PENDEKATAN PEMBANGUNAN INSANIAH


Pendahuluan

Secara umumnya, kepimpinan merupakan amanah sebagai khalifah manusia di bumi yang wujud pada setiap peringkat dari negara hingga individu. Sebagai contoh, kerajaan bertanggungjawab memimpin rakyat, menteri memimpin kementeriannya, ketua memimpin organisasi, suami memimpin isteri, ibu bapa memimpin anak-anak dan diri sendiri memimpin akal, nafsu dan qalbu. Rentetan itu, kepimpinan bukan satu keistimewaan yang perlu dibanggakan dengan jawatan dan pangkat yang dimiliki tetapi ia sesuatu yang membimbangkan kerana ia merupakan amanah dari Allah SWT yang akan dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat kelak. Walaupun kepimpinan merupakan amanah Allah SWT namun sejak kebelakangan ini, pelbagai isu kepimpinan terus timbul dan diperkatakan dari semasa ke semasa. Antaranya, isu kepimpinan tidak beretika yang melibatkan perbuatan rasuah dan pecah amanah sepertimana yang dinyatakan oleh Zaharah Hassan et. (2009). Mengapakah isu kepimpinan masih lagi berlaku sedangkan kepimpinan itu adalah amanah dari Allah SWT dan akan dipersoalkan di akhirat kelak? Menurut Muhammad as-Soghir (1990), masalah kepimpinan yang berlaku sebenarnya ada perkaitan dengan qalbu pemimpin yang kotor. Hal ini kerana qalbu yang kotor akan melahirkan sifat-sifat mazmumah dalam kepimpinannya. Persoalannya, adakah kepimpinan masa kini hanya menekankan unsur-unsur luaran sehingga mengabaikan sifat dalaman iaitu qalbu? Sedangkan kepimpinan dalam Islam adalah lebih bersifat holistik dan merangkumi dunia dan akhirat. Oleh itu, sebagai manifestasi, pendekatan pembangunan insaniah penting dalam membentuk kepimpinan berteraskan qalbu. Dalam penulisan ini akan membincangkan pendekatan pembangunan insaniah dalam membentuk kepimpinan berteraskan qalbu.

Pemimpin Berteraskan Qalbu dengan Pembangunan Insaniah

Sebelum kepimpinan berteraskan qalbu melalui pendekatan pembangunan insaniah dibincangkan lebih mendalam, penulis terlebih dahulu mengemukakan definisi kepimpinan berteraskan qalbu dan pembangunan insaniah. Istilah kepimpinan berteraskan qalbu yang diguna pakai dalam penulisan ini terbina daripada gabungan istilah kepimpinan dan juga qalbu yang membawa maksud kepimpinan yang berpandukan segala perintah dan larangan Allah SWT. Pembangunan insaniah pula merujuk kepada pembangunan seimbang di antara elemen ketahanan mental, kemantapan spiritual dan fizikal kepada manusia.

Rentetan itu, untuk membentuk kepimpinan berteraskan qalbu, setiap pemimpin perlu menerapkan beberapa komponen pembangunan insaniah dalam diri. Hal ini kerana pembangunan insaniah menghubungkan aspek akidah, ibadah dan akhlak dalam kalangan pemimpin. Justeru itu, pembangunan insaniah penting diterapkan oleh pemimpin kerana ia juga membentuk kepimpinan berteraskan qalbu yang melahirkan pemimpin yang berakhlak mulia dan tidak tunduk kepada hawa nafsu. Komponen pembangunan insaniah dalam membentuk kepimpinan berteraskan qalbu merangkumi dua komponen utama iaitu melibatkan komponen spritual dan fizikal dalam kalangan pemimpin. Apabila membincangkan mengenai aspek spritual, aspek utama yang disentuh dalam membentuk kepimpinan berteraskan qalbu adalah mengenai aspek akidah iaitu iman, ilmu dan nafsu. Manakala itu, komponen fizikal pula meliputi aspek ibadah dan akhlak. Penyepaduan antara komponen ini dapat membentuk kepimpinan berteraskan qalbu yang melahirkan pemimpin yang berakhlak mulia.

Bagi komponen spiritual, Imam Ghazali (1977) menyentuh tiga elemen iaitu pertama, taqwa. Kedua, hawa nafsu dan ketiga, lintasan-lintasan hawa nafsu iaitu dari kejahatan kepada kebaikan. Sebenarnya ketiga-tiga ini mempunyai hubungkait. Hal ini kerana, Said Abdul Adzim (2006) menjelaskan maksiat itu melemahkan qalbu. Oleh itu, qalbu memerlukan sesuatu yang menjaga kekuatannya. Asas yang menjaga kekuatan qalbu iaitu keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Rentetan itu, sebagai pemimpin perlu menjauhi diri dari segala perbuatan dosa, maksiat dan segala larangan Allah SWT.  Iqra Firdaus (2016) juga menjelaskan bahawa qalbu menjadi sakit bila kekurangan iman. Dengan kata lain, iman itu penting kepada qalbu agar dapat menghindari daripada menurut hawa nafsu yang lahir daripada bisikan syaitan. Bagi mengukuhkan iman perlu kepada ilmu. Menurut Muhammad Syukri Salleh (2003), iman pemimpin dapat dipertingkatkan dengan melakukan ibadah-ibadah asas yang didasari oleh rukun Islam dan rukun iman, amalan-amalan utama seperti berwirid, berzikir, berdoa dan melakukan perkara-perkara sunat yang digalakkan dalam Islam.

Oleh yang demikian, komponen-komponen pembangunan insaniah iaitu iman dan nafsu sangat berkait rapat. Sekiranya tahap iman menurun, pemimpin mudah mengikut hawa nafsu. Rentetan itu, apabila nafsu mengambil alih pemerintahan maka keseluruhan pemimpin samada dari segi jasmani mahupun rohani akan menerima kesan yang buruk. Justeru itu, seseorang pemimpin perlu menerapkan komponen pembangunan insaniah iaitu komponen spiritual dengan menguatkan tahap keimanan dalam melaksanakan urusan serta menghindarkan anggota fizikal daripada terlibat dengan maksiat.

Aspek akidah, ibadah dan akhlak saling berkait rapat dalam membentuk kepimpinan berteraskan qalbu. Sebagai contoh, solat merupakan ibadah yang boleh menghalang dalam kalangan pemimpin daripada melakukan perbuatan mungkar iaitu perbuatan rasuah dan pecah amanah. Allah SWT menegaskan bahawa solat yang dilakukan oleh pemimpin tersebut boleh mencegah dirinya daripada melakukan dosa-dosa dan kemungkaran. Ini membuktikan hubungkait antara komponen spiritual pembangunan insaniah dapat membentuk kepimpinan berteraskan qalbu. 

Sebagai manifestasi, pembangunan insaniah dapat membentuk kepimpinan berteraskan qalbu iaitu melalui komponen spiritual iaitu aspek akidah iaitu iman, ilmu dan nafsu serta komponen fizikal yang terdiri dari aspek ibadah dan akhlak. Sehubungan itu, pembangunan insaniah juga dapat melahirkan ciri-ciri pemimpin berteraskan qalbu iaitu adil, amanah, berani berjihad kerana Allah SWT dan taat kepada perintah Allah SWT Dengan kata lain, pembangunan insaniah membentuk pemimpin melahirkan sifat-sifat mahmudah dalam kepimpinannya.

Kesimpulan

Pendekatan pembangunan insaniah perlu disebatikan dalam jiwa seseorang pemimpin. Berdasarkan perbincangan sebelum ini, dapat dirumuskan bahawa pendekatan pembangunan insaniah merupakan alternatif bagi membentuk kepimpinan berteraskan qalbu yang dapat diaplikasikan dalam kalangan pemimpin. Hal ini kerana pembentukan kepimpinan berteraskan qalbu mewujudkan sifat rasa berTuhan dalam diri pemimpin dan ia bermatlamatkan untuk mendapatkan keredaan Allah SWT.


Rujukan

Imam Ghazali. (1977). Keajaiban hati. Singapura: Pustaka Nasional Pte Ltd.

Iqro’ Firdaus. (2016). Berdamai dengan hati. Indonesia: Penerbit Safirah.

Muhammad As Soqhir. (1990). Haluan kepimpinan dan siasah dalam arus kebangkitan Islam. Kuala Lumpur: Norzak Compuware.

Muhammad Syukri Salleh. (2003). Tujuh prinsip pembangunan berteraskan Islam. Kuala Lumpur: Zebra Editions Sdn. Bhd.

Said Abdul Azhim. (2006). Rahasia kesucian hati menurut al-qur’an, hadits dan pendapat Ulama. Jakarta, Indonesia: Qultum Media.

Zaharah Hassan, Abu Daud Silong dan Nazri Muslim. (2009). Kepimpinan beretika dan kecemerlangan organisasi dalam perkhidmatan awam. http:// www. academia. edu/1199689/Kepimpinan_beretika_dan_kecemerlangan_organisasi_dalam_perkhidmatan_awam(dilayari pada 7 November 2015).

Monday 3 October 2016

JAGA QALB UNTUK MERAIH KEBAHAGIAAN



Secara umumnya, Imam Ghazali (1977:1) mendefinisikan qalb kepada dua pengertian. Pertama, qalb jasmani iaitu merupakan segumpal daging yang berbentuk bulat panjang dan terletak di dada sebelah kiri yang mempunyai tugas tertentu dan dalamnya ada rongga-rongga yang mempunyai darah hitam sebagai sumber roh. Kedua, qalb rohani, iaitu sesuatu yang halus yang bersifat rabbaniyah (ketuhanan), Qalb rohaniah (kerohanian) mempunyai hubungkait dengan qalbu jasmani. Hati yang halus ialah hakikat manusia. Menurut Imam Ghazali, hati yang dimaksudkan dalam qalb rohani adalah hakikat manusia yang dapat mengetahui, arif yang menjadi sasaran dari segala perintah dan larangan Allah SWT dan juga yang akan diseksa dan dituntut segala amal perbuatannya. Qalb  juga terkait dengan akhlak terpuji yang direalisasikan oleh gerak tubuh. Qalb menentukan sifat dan watak manusia yang tampak secara lahiriah. Rentetan itu, setiap insan perlu menjaga qalb untuk meraih kebahagiaan.

Menjaga qalb sebenarnya bukan sesuatu yang susah. Menurut Iqro Firdaus (2016:127) menjaga hati sangat mudah apabila seseorang insan mengetahui ciri-ciri yang ada pada qalb. Sebagai contoh, qalb dipengaruhi oleh enam unsur iaitu tiga unsur yang cenderung membawa qalb ke arah negatif dan tiga lagi membawa ke arah positif. Tiga unsur negatif iaitu pertama; dunia yang menjadi perhiasan baginya. Kedua, menuruti hawa nafsu yang didorong oleh godaan syaitan dan ketiga penyakit qalb. Sebagai manifestasi, setiap insan perlu menjauhi  qalb daripada unsur negatif ini agar dapat meraih kebahagiaan di dunia dan akhirat. 

Sehubungan itu, qalb perlu dihiasi dengan unsur positif yang terdiri daripada tiga iaitu pertama; ilmu pengetahuan yang memberikan petunjuk. Kedua, akal fikiran yang membawa diri dekat kepada Allah dan ketiga Allah SWT yang ia sembah. Pada hakikatnya, qalb kita dikelilingi oleh semua unsur di atas. Oleh yang demikian, kita perlu menjaga qalb daripada unsur negatif dan menghiasinya dengan unsur-unsur positif untuk meraih kebahagiaan bukan sahaja di dunia malah kebahagiaan di akhirat.

Tuesday 16 August 2016

Lakukan Sesuatu Biarlah Ikhlas Kerana Allah SWT



Sejujurnya, sebelum ini saya tidak pernah melakar coretan dalam blog dan tidak pernah terlintas pun akan melakar coretan di sini. Namun begitu, alhamdulillah saya sangat bersyukur dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana kerana banyak benda baru yang saya belajar dan ia sangat bermanfaat untuk diri ini dan semoga ia juga dapat dimanfaatkan untuk orang lain. Kalau ikutkan hati memang banyak yang terlintas di hati dan dalam fikiran ini namun ia tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Saya tidak tahu kenapa saya boleh berkomunikasi dengan kawan-kawan dan keluarga tetapi konteks dalam kelas saya lemah dalam berkomunikasi dengan orang lain. Kadang kala saya lebih rela memilih untuk berdiam diri daripada perlu bersuara. Oleh sebab itu, saya lebih berminat untuk melakar coretan dalam blog ini. Hari ini entah kenapa terasa ingin menulis mengenai coretan kata "ikhlas". 

Bak kata pepatah "lakukan sesuatu biarlah ikhlas kerana Allah SWT". Dengan kata lain, hidup ini biarlah berjasa kerana Allah SWT. Inilah pepatah yang sering diungkapkan oleh Ustaz yang mengajar kepada kami semasa berada di tingkatan enam. Saya sentiasa ingat akan pesanan Ustaz ini. Kadang kala bukan susah nak susah dan bukan senang nak senang. Begitu juga dengan ikhlas. Bukan senang nak ikhlas dan bukan susah nak ikhlas. Ikhlas merupakan kata yang mudah diucapkan oleh lisan, namun cukup sulit dihadirkan dan dipertahankan dalam hati. Rentetan itu, lakukan sesuatu biarlah kerana Allah SWT dengan memulakan setiap aktiviti dengan ucapan basmalah dan akhiri dengan alhamdulillah. 

"Biarlah kita hilang sesuatu kerana Allah SWT tetapi jangan kita hilang Allah SWT kerana sesuatu"(Al-Arif Billah al-Habib Abu Bakar bin Muhammad Assegaf). Pepatah ini juga boleh dijadikan salah satu mekanisme untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Sebagai manifestasi, saya juga kongsi serba sedikit berkaitan ikhlas kerana Allah SWT. Ulama Sufyan Ats Tsauri pernah berkata ''sesuatu yang sulit bagiku adalah meluruskan niatku". Hal ini kerana niatku sering berubah-ubah. Perkara ini menggambarkan bahawa niat yang baik atau ikhlas merupakan sesuatu yang sukar dihadirkan dalam hati bagi orang yang melakukan sesuatu bukan kerana Allah SWT. Hati sering berbolak balik, Kadang kala ikhlas dan kadang kala sebaliknya. Namun begitu, amal kebaikan yang dilakukan bukan kerana Allah SWT merupakan sesuatu perbuatan yang sia-sia dan ia akan mendapat azab daripada Allah SWT. Hadith Rasulullah SAW ada menyatakan bahawa tiga orang yang akan masuk neraka terlebih dahulu adalah orang-orang yang melakukan kebaikan namun bukan kerana Allah SWT. Kesimpulannya, kita hendaklah melakukan sesuatu kerana Allah SWT agar mendapat keredaan Allah dan bukan semata-mata untuk mendapat pandangan dan pujian daripada manusia.



Sunday 29 May 2016

Cabaran Masa Hadapan Bagi Sistem Pengurusan Kualiti Berteraskan Islam


Secara umumnya, sistem pengurusan kualiti Islam merupakan satu proses yang penting dalam sesebuah organisasi untuk memastikan perjalanan dan pentadbiran berfokuskan kepada produk atau memberi perkhidmatan selari dengan kehendak dan tuntutan Syarak. Rentetan itu, Fadzila Azni Ahmad (2010:55) menyatakan bahawa sistem pengurusan kualiti Islam berbeza dengan pengurusan lazim.Namun beberapa cabaran perlu diambil berat demi memastikan sistem pengurusan kualiti Islam ini mampu berdaya saing dengan pesaing-pesaing yang lain di samping ia mematuhi kehendak Syarak yang ditekankan dalam ajaran Islam.


Antara cabaran yang perlu dihadapi oleh setiap Muslim pada abad ke-21 kini adalah:

(i) Pembinaan jati diri Muslim itu sendiri bagi melahirkan individu yang beriman dan bertaqwa sebagai modal insan berdaya saing yang mampu menggerakkan pembangunan masyarakat, organisasi dan negara serta mampu mengurusnya seiring dengan perkembangan semasa;

(ii) Penekanan terhadap penghayatan dan pengamalan nilai murni, moral dan akhlak Islamiah melalui budaya fitrah keinsanan serta menggalakkan pembinaan sahsiah menerusi sifat sabar, amanah, jujur, kerjasama, bersatupadu dan seumpamanya dalam diri setiap pekerja;

 (iii) Membudayakan ciri-ciri positif dalam bidang pekerjaan seperti mementingkan kecemerlangan, tabah, berpegang pada fakta, kreatif, inovatif, menghormati kehendak pelanggan dan lain-lain lagi. Pembudayaan ciri-ciri positif mestilah digerakkan dan sentiasa disuburkan. Oleh kerana pembudayaan ciri-ciri positif bukanlah tugas mudah, tanggungjawab ini hendaklah digalas dengan penuh iltizam dan Istiqamah terutamanya oleh pihak kepimpinan organisasi;

(iv) Memberi penekanan yang seimbang kepada aspek Insaniyyah (soft aspect) dalam melaksanakan sebarang program pengurusan, termasuklah program kualiti. Penekanan yang lebih mementingkan aspek teknikal seperti kepatuhan kepada prosedur, prosedur dan kerja, output, audit dan statistic kesilapan pekerja telah menyebabkan program kualiti akhirnya menghadapi masalah dari segi keberkesanannya. Justeru, aspek Insaniyyah seperti Ihsan, terbuka, memahami, berpadapada, penambahbaikan berterusan (Istiqamah), komitmen, telus dan sabar mestilah juga diterapkan dalam program kualiti untuk mendapatkan hasil dan kesan yang lebih baik;

(v) Penguasaan kemahiran dan tradisi keilmuan yang berterusan sepanjang zaman menerusi konsep ‘Iqra’ ataupun pembelajaran sepanjang hayat agar generasi akan datang tidak mundur dengan maklumat-maklumat terkini yang cepat berkembang. Pengisian dan peneguhan kemahiran dan keilmuan tersebut dapat dilaksanakan dengan menyertai sesuatu program latihan atau kursus yang bersesuaian pada setiap masa;

(vi) Pemupukan motivasi dalaman terutamanya menerusi dorongan agama yang lebih mampu bersaing dalam kalangan pekerja yang meletakkan kejayaan hakiki (al-Falah) dan keredaan Allah SWT sebagai matlamat utama ketika bekerja. Bukannya pengiktirafan atau gaji yang berbentuk materialistik semata-mata sebagai ganjaran dan dorongan. Hal ini demikian kerana pengiktirafan yang berbentuk sementara itu tidak semestinya adil dan tepat dengan kehendak seseorang, namun balasan akhirat jua yang lebih adil dan setimpal dengan
setiap tindakan yang dilakukan oleh seseorang pekerja;

(vii) Cabaran untuk mewujudkan para pemimpin organisasi yang mampu berperanan serta bijaksana membuat sebarang keputusan yang benar dan tepat. Di samping mereka mempunyai akidah yang suci, menjadikan al- Qur’an dan Sunnah Rasulullah SAW sebagai panduan serta berakhlak mulia, bersifat adil dan saksama terutamanya dalam aspek pemilihan para pekerja, pembayaran gaji, pengembangan kerjaya, pengagihan tugasan dan hukuman yang diberikan. Ciri-ciri kepimpinan sebegini selaras dengan tanggungjawab besar yang telah diamanahkan oleh Allah SWT kepada setiap individu sebagai Khalifah di muka bumi ini;

(viii) Cabaran terakhir dan paling besar yang perlu dihadapi dalam sesebuah organisasi ialah keinginan setiap individu untuk melakukan transformasi diri sendiri ke arah positif pada setiap masa. Hal ini demikian kerana sesuatu perubahan tidak akan terjadi jika diri individu itu sendiri enggan mengubahnya. Perkara ini dijelaskan oleh Allah SWT sebagaimana yang berikut:

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah sesuatu yang ada pada sesebuah kaum sehingga   mereka mengubah perkara yang ada pada diri mereka sendiri”.
 
(ar-Ra’d, 13:11).

Secara tuntasnya, sistem pengurusan kualiti Islam bukanlah hanya terhenti kepada matlamat memberi kepuasan semata-mata, bahkan hakikat tujuannya adalah mencapai mardatillah (keredaan) Allah SWT dalam segala urusan di dunia demi kebahagiaan pada hari akhirat kelak. Rentetan itu, pengurus atau pekerja sesebuah organisasi perlu bersikap jujur, amanah melaksanakan kerja, berintegriti, tekun dan berdisiplin agar dapat menghadapi cabaran masa hadapan bagi memastikan sistem pengurusan kualiti berteraskan Islam berjalan lancar dan lebih berkualiti mengikut syarak. Oleh yang demikian, memandangkan pentingnya kualiti ini dalam aspek kehidupan insan; maka tidak dapat tidak ia mesti dijadikan budaya yang sebati terutamanya dalam melaksanakan suatu sistem pengurusan yang cemerlang (Hasan Al-Banna, Ab Mumin & Siti Arni, 2011).

Bibliografi

Fadzila Azni Ahmad. (2010).  Kaedah pengurusan institusi-institusi pembangunan berteraskan Islam di Malaysia. Shah Alam: Pusat Penerbitan Universiti (UPENA).

Hasan Al-Banna Mohamed, Ab Mumin Ab Ghani dan Siti Arni Basir. (2011). Pemantapan sistem pengurusan Islam berkualiti melalui konsep Tawhidi, budaya Itqaan dan nilai ihsan. World Congress on Islamic Systems 2011 (World-ISLAM 2011).

Hasan al-Banna Mohamed, Ab. Mumin Ab. Ghani & Siti Arni Basir. (2013). Sistem pengurusan Islam yang berkualiti mampu menjamin kepuasan pekerja: Suatu realiti dan cabaran masa hadapan. GJAT. Jun 2013, vol 3 issue 1, 67.

Nurul Ain Zainul Abidin. (2013). Pelaksanaan pengurusan asas-asas kualiti peribadi dalam kehidupan nabi Muhammad SAW. Universiti Sains Malaysia: Disertasi yang diserahkan untuk memenuhi sebahagian keperluan bagi Sarjana Sains Kemasyarakatan (Pengurusan Pembangunan Islam). Tidak diterbitkan.



Tuesday 24 May 2016

MEDIUM TAZKIYAH AL-NAFS



بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ


Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. 

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّ

Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW 



  MEDIUM TAZKIYAH AL-NAFS

Secara umumnya, tazkiyah al-nafs bermaksud penyucian, pembersihan dan penyuburan diri. Dengan kata lain, secara lebih terperinci ia adalah suatu usaha yang bersungguh-sungguh untuk membersihkan dan menyucikan jiwa daripada sifat-sifat yang tercela dan merupakan satu proses peralihan dari jiwa yang kotor, ternoda dan tercemar dengan dosa kepada jiwa yang suci bersih (Che Zarrina Sa’ari, 2012). Namun begitu, kini kehidupan moden mempunyai cabaran yang besar iaitu banyak melakukan perkara-perkara yang tidak beretika seperti rasuah, pecah amanah dan tiada sifat rasa berTuhan dalam diri. Sebagai manifestasi, mereka tidak menyedari bahawa masalah yang berlaku bertitik tolak daripada hati. Oleh itu, dalam penulisan ini akan membincangkan secara umum mengenai medium tazkiyah al-nafs.

Menurut Mohd Murtadza Ahmad (2010), terdapat lima medium tazkiyah iaitu pertama, melaksanakan perkara wajib. Kedua, meninggalkan perkara yang haram dan shubhat. Ketiga, Menambahkan kesungguhan untuk melaksanakan perkara yang sunat. Keempat, menjaga adab dan akhlak. Kelima, bergaul dengan orang solihin.

Sehubungan itu,  dapat dilihat perbincangan mengenai medium tazqiyah di atas lebih ditumpukan dalam hal-hal ibadat dan ritual. Namun begitu, dari sudut pengamal tasawuf, medium tersebut mencakupi keseluruhan aspek kehidupan sama ada dari aspek ritual ataupun keduniaan.  Rentetan itu, dakwaan bahawa orang sufi meninggalkan keduniaan adalah dakwaan yang melampau. Golongan ini sebenarnya amat berwaspada dari melampaui ketentuan Allah. Ini kerana Allah sendiri membenci segala yang melampaui batas.

Oleh yang demikian, kefardhuan yang ditetapkan oleh Allah akan membawa kebahagiaan buat orang yang melakukannya. Ianya adalah punca kebaikan dan kesejahteraan hidup di dunia mahupun akhirat. Ketaqwaan itu sendiri adalah punca penyelesaian kepada sebarang kesulitan dan kepayahan hidup.  Hal ini diingatkan oleh Allah dalam ayat seribu dinar yang sering menjadi amalan masyarakat dalam urusan perniagaaan. Ibn ‘Ata’illah di dalam al-Hikam ada menyatakan yang bermaksud;

 Allah jadikan kamu adalah untuk mentaati-Nya dan tidak Dia menjadikannya kecuali supaya kamu masuk ke dalam Syurga-Nya.

Sebagai manifestasi, tazkiyah al-nafs  juga mencakupi usaha untuk meninggalkan larangan dan perkara yang boleh membawa kepada haram. Mohd Haris Hairun Paezi (2010) mengambil pandangan ulama iaitu Ibrahim al-Khawwas yang menyatakan lima perkara boleh menyucikan hati iaitu pertama, membaca al-qur’an dan tadabbur. Kedua, mendirikan solat malam. Ketiga, mengosongkan perut. Keempat, berdoa dengan penuh tawadhuk di hujung malam. Kelima, duduk bersama orang-orang soleh.

Kesimpulannya, tazkiyah al-nafs amat penting sebagai medium dalam kehidupan manusia mencari kesejahteraan hidup di dunia mahupun akhirat. Rentetan itu, tazkiyah tidak bermaksud menolak perkembangan kehidupan semasa tetapi ia sebagai medium untuk mengawal daripada kerosakan hatinya. Sebagai manifestasi, tazkiyah al-nafs membentuk jiwa manusia lebih dekat kepada Allah. Dengan kata lain, ia mendorong seseorang melakukan segala yang disyariatkan oleh Islam secara istiqamah. Oleh itu, tazkiyah perlu melalui pelbagai kaedah di samping hidayah dan taufiq daripada Allah.

Bibliografi
Che Zarrina Sa'ari dan Sharifah Basirah Syed Muhsin. (2012). Cadangan model psikoterapi remaja Islam berasaskan konsep tazkiyah al-nafs. Jurnal usuluddin (Julai-Disember 2012) 36:49-74.
Mohd Haris Hairun Paezi. (2008). Ubat hati. Diakses dari http://mindvision. com.my/Dari%20  Pena_Ubat%20Hati.htm pada 23 Mei 2016.
Mohd Murtadza Ahmad. (2010). Tazkiyah al-nafs dalam ilmu tasawuf. Diakses dari http://www.muftins.gov.my/index.php/arkib2/tareqat-tasauwuf/162-koleksi-kertas-kerja/634- tazkiyah pada 23 Mei 2016.



Friday 6 May 2016

Konsep Insaniyyah Dalam Sistem Pengurusan Kualiti Berteraskan Islam

Tugasan 3 (SYW501)
Suriadi bin Kamaruding
P-ISM0054/15
Calon Sarjana Sains Kemasyarakatan
(Pengurusan Pembangunan Islam)


Pendahuluan

Secara umumnya, sistem pengurusan kualiti berteraskan Islam merupakan satu proses penting bagi memastikan perjalanan dan pentadbiran sesebuah organisasi selari dengan kehendak dan tuntutan syarak (Hasan Al-Banna Mohamed, Ab Mumin Ab Ghani dan Siti Arni Basir, 2011). Namun begitu, sistem pengurusan kualiti berteraskan Islam mempunyai cabaran masa hadapan. Antara cabaran tersebut iaitu penekanan terhadap aspek insaniyyah dalam melaksanakan sebarang program pengurusan termasuklah program kualiti. Oleh itu, dalam penulisan ini akan memfokuskan kepada prinsip asas pertama dalam pengurusan kualiti berteraskan Islam iaitu konsep insaniyyah.

Konsep Insaniyyah

Konsep insaniyyah merupakan prinsip pertama dalam sistem pengurusan kualiti menurut perspektif Islam (Hasan al-Banna Mohamed, Ab. Mumin Ab. Ghani dan Siti Arni Basir, 2013). Konsep insaniyyah memberi gambaran bahawa sistem pengurusan kualiti Islam lebih bersifat holistik yang meletakkan prinsip asas seperti konsep insaniyyah sebagai panduan untuk memperbaiki sistem pengurusan kualiti yang wujud di Barat dan Timur. Sebagai manifestasi, konsep insaniyyah jika diamalkan di institusi sudah tentu dapat melahirkan pengurusan yang berkualiti sekaligus memberi kepuasan dalam bekerja. Selain itu, konsep insaniyyah juga boleh mencapai matlamat akhir iaitu mencapai redha Allah SWT. Oleh yang demikian, penulisan ini akan membincangkan mengenai konsep insaniyyah dalam sistem pengurusan kualiti berteraskan Islam.

Sehubungan itu, konsep insaniyyah dalam sistem pengurusan kualiti berteraskan Islam merupakan salah satu alternatif bagi memastikan sistem pengurusan berkualiti dapat diaplikasikan dengan sebaiknya oleh pihak pengurusan terutama di Institusi Islam. Rentetan itu, Sidek Baba (2012) menegaskan bahawa Allah SWT mencipta alam sejagat ini berlandaskan sunnatullah bermula daripada kejadian manusia, jin, haiwan, makhluk-makhluk lain dan pelbagai lagi kejadian-Nya dengan kesempurnaan dan ketertiban yang tinggi. Setelah itu, dimuliakan insan ataupun manusia tersebut dengan sebaik-baik kejadian (Ahsan al-Taqwim) dengan kurniaan hidayah dan cahaya petunjuk kepada mereka.  Penciptaan manusia sebagai insan fitrah sejak lahir lagi perlu disusun dan diatur mengikut landasan al-Qur’an dan Hadis Rasulullah SAW agar ia berfungsi sebagai insan yang berkualiti.

Sebagai manifestasi, seseorang insan yang memberi penekanan terhadap konsep Insaniyyah (kemanusiaan sejati) dalam pengurusan kualiti berteraskan Islam sudah tentu akan melaksanakan segala tanggungjawab dengan penuh amanah kerana yakin dengan kehendak dan ketetapan Allah SWT. Namun begitu, untuk melaksanakan segala tanggungjawab dengan amanah itu bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan rasa kehambaan terhadap Allah SWT. Dengan kata lain, rasa kehambaan terhadap Allah SWT harus disebatikan dalam diri agar patuh dan tunduk kepada setiap perintah dan larangan Allah SWT. Perkara ini dijelaskan oleh Allah SWT sebagaimana yang berikut:
     “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah dan beribadah kepada-Ku.”
                                                                                              (adz-Dzariyat, 51:56).

Ayat di atas memberikan gambaran dan panduan bahawa manusia sebagai hamba perlu tunduk dan patuh kepada setiap perintah dan larangan Allah SWT.

Kesimpulan

Konsep insaniyyah perlu disebatikan dalam jiwa seseorang sama ada pihak pengurusan atasan ataupun peringkat bawahan. Berdasarkan perbincangan sebelum ini, dapat dirumuskan bahawa konsep insaniyyah merupakan alternatif bagi memastikan sistem pengurusan kualiti dapat diaplikasikan oleh pihak pengurusan terutama di Institusi Islam. Konsep insaniyyah ini juga penting bagi memastikan perjalanan dan pentadbiran sesebuah organisasi selari dengan kehendak dan tuntutan syarak.  Rentetan itu, konsep insaniyyah juga dapat memberikan kepuasan dalam bekerja di kalangan kakitangan organisasi. Oleh sebab itu, konsep insaniyyah ini perlu diterap di institusi Islam kerana konsep pengurusan kualiti ini berbeza dengan konsep kualiti dari perspektif lazim (Fadzila Azni Ahmad, 2010:286).

Bibliografi

Fadzila Azni Ahmad. (2010). Kaedah pengurusan institusi-institusi pembangunan berteraskan Islam di Malaysia. Shah Alam: Pusat Penerbitan Universiti (UPENA).

Hasan Al-Banna Mohamed, Ab Mumin Ab Ghani dan Siti Arni Basir. (2011). Pemantapan sistem pengurusan Islam berkualiti melalui konsep tawhidi, budaya itqaan dan nilai ihsan. World Congress on Islamic Systems 2011 (World-ISLAM 2011).

Hasan al-Banna Mohamed, Ab. Mumin Ab. Ghani & Siti Arni Basir. (2013). Sistem pengurusan Islam yang berkualiti mampu menjamin kepuasan pekerja: Suatu realiti dan cabaran masa hadapan. GJAT. Jun 2013, vol 3 issue 1, 67.

Sidek Baba. (2012). Pengurusan Islami: Aplikasi ihsan dan insan. Kuala Lumpur: Techknowlogic Trading Sdn. Bhd. 

Monday 25 April 2016

Kata Hati


Ha, Hensem kan. Hensem kan.Tenang je tengok wajah Habib Ali Al-Jufri ...

Meme Islami : Pesan Habib Ali Bib Abdurrahman Al Jufri


Secara umumnya, kata hati merupakan apa yang terlintas di lubuk hati. Semua ketaatan yang Allah sukai di permukaan bumi ini bermulanya dengan kata hati. Sebagai contoh, terlintas di hati kita melakukan ketaatan maka kitapun melakukan ketaatan. Hal ini menyahut hati kita. Begitu juga dengan sebaliknya iaitu semua maksiat yang Allah murkai di permukaan bumi ini bermulanya dengan kata hati. Perbuatan dosa besar, kekufuran, kefasikan, kejahatan, membunuh dan menyakiti manusia. Semua kejahatan yang berada disekeliling manusia ini bermula dengan kata hati. Terlintas di hati kita sesuatu lantas kita menyahutnya. Kata hati yang terlintas di hati ini adalah pintu masuk dari dalam jiwa seseorang yang membawanya ke hati. Rentetan itu, perkara ini perlu diberi penekanan kerana ia merupakan pintu masuk yang tidak dirasai. Dengan kata lain, ia bukannya sesuatu yang boleh dirasai dan bukan yang bersifat jisim. Selain itu, kata hati memberi kesan terhadap pancaindera.


Kata hati yang dibincangkan dalam penulisan ini terdiri daripada empat punca. Pertama, nafsu diri. Kedua, syaitan. Ketiga, malaikat. Keempat, ilham dari Allah SWT. 

1. Nafsu diri

Punca pertama merujuk kepada keinginan atau hawa nafsu. Nafsu kita yang menginginkan. Sebagai contoh, ketika kita berpuasa Ramadhan dan kita ternampak air sejuk. Apa yang kita hendakkan ketika itu? Nafsu kita hendak minum. Lintasan hati ini datang dari nafsu dan keinginan nafsu. Sebagai tambahan, ketika kita hendak mengambil minuman tersebut, ada seseorang menganggu kita lantas kita menyerangnya semula. Sebenarnya, ia bermula dengan terdetik kata hati agar menyerangnya semula. Ini lah yg dinamakan dari nafsu iaitu daripada keinginan nafsu dan hasutannya.

2. Syaitan

Syaitan yang dinamakan ianya dengan was-was "dari kejahatan bisikan syaitan yang bersembunyi. Sesungguhnya syaitan itu membisikkan sesuatu pada hati anak nabi Adam. Bisikan tersebut bertujuan mewaswaskan anak Nabi Adam. Apabila anak Adam ini mengingati Allah, syaitan terus bersembunyi menjauhinya. 

3. Malaikat

Malaikat sungguh mulia lagi tinggi darjatnya. Disebutkan dalam hadis hasan dari Rasulullah SAW yang bersabda bahawasanya malaikat datang kepada hati orang Mukmin. Malaikat mengajak melakukan kebaikan dan menjanjikannya serta menghiasi pada dirinya. Begitu juga dengan syaitan yang datang membisik kepada hati orang Mukmin. Namun, syaitan mengajak melakukan kejahatan.dan menjanjikannya serta menghiasi dirinya. Oleh itu, apabila seorang Mukmin mengikut kata-kata syaitan serta was-was darinya, dia akan melakukan perbuatan-perbuatan dosa dan maksiat. Itulah hasil yang terjadi.apabila kita mengikut bentuk kata hati dari sentuhan malaikat. Apabila kita mengikut kata hati yang datang dari malaikat, kita akan mengikutnya ke arah ketaatan. Bentuk kata hati ini datang dari malaikat. Ulama menamakannya dengan "sentuhan malaikat". Sentuhan malaikat ini seperti orang yang menasihati. Sebagai contoh, ia seperti seorang kawan yang menasihati kita ke arah kebaikan. Inilah dia sentuhan malaikat.

4. Kata hati yang datang dari Allah SWT secara telus

Punca keempat ini, Allah mencampakkannya ke dalam hati kita. Sebagai contoh, kita akan kata semuanya takdir dari Allah bila kita sampai pada penghujung kesudahannya. Sama ada berbentuk bala bencana atau pemberian dan ujian ataupun anugerah. Sebenarnya semua ini adalah kata hati yang Allah campakkan dari kemuliaan-Nya pada hati hambanya yang beriman. Bentuk kata hati ini dinamakan "Ilham". Allah mengilhamkan kepada jiwa manusia itu kefasikan, ketakwaannya dan jiwa serta penyempurnaannya. Persoalannya, siapa yang menyempurnakan jiwa manusia ini? Semestinya Allah SWT. Oleh itu, Allah SWT mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya. Maka, kata hati yang datang dari Allah SWT itu adalah ilham. 

Kesimpulannya, perbincangan ini merupakan empat punca yang mengalir ke dalam hati. Kata hati adalah pintu masuk yang terbuka dalam hati dan mengalir ke arahnya "kata-kata hati".  Kata-kata hati sangat banyak terlintas dalam hati setiap orang di muka bumi ini. Jika kita cuba perhatikan kata hati yang terlintas di dalam hati dalam seminit. Kita akan dapati sungguh banyak kata hati yang terlintas di dalam hati kita. Sebagai contoh, terlintas di hati kita sekarang bahawasanya kita lapar, jadi kita perlu makan. Walaupun begitu, saya perlu segera sebab ada janji dengan seseorang. Semuanya itu boleh berlaku dalam sesaat. Makanya, bermacam-macam bentuk kata hati yang saling datang mendatangi kita.  Oleh itu, pakar pendidikan mengatakan sesungguhnya lebih 70 ribu bentuk kata hati yang terlintas di hati manusia siang dan malam. Sebenarnya, bentuk kata hati itu terjadi disebabkan empat punca tadi. Semuanya ia dari kata hati sama ada kata hati yang baik atau kata hati yang jahat. Kewajipan kita dalam perjalanan menuju Allah SWT adalah memelihara hati kita dengan menerima kata hati yang baik dan mendengarnya serta mengikut katanya. Hal ini membantu kita dalam gambaran persepsi tindakan kita. Kata hati yang datang dari bentuk kebaikan ianya memperluaskan persepsi gambaran hati untuk ke arah kebaikan . Oleh sebab itu, kita perlukan kata hati yang baik berbanding dengan kata hati yang datang dari bentuk kejahatan. Kata hati yang datang dari bentuk kejahatan akan memberi kesan pada hati kita yang menggerakkan hati kita untuk melakukan kejahatan.


Bahan ini ditranskripsi dari You Tube sempena program ilmiah Ayyuha al-Murid bersama al-Syeikh al-Murabbi al-Habib Ali al-Jufri.