Sunday 30 October 2016

KEPIMPINAN BERTERASKAN QALBU MELALUI PENDEKATAN PEMBANGUNAN INSANIAH

Tugasan SYW 502
Suriadi bin Kamaruding
P-ISM0054/15
Calon Sarjana Sains Kemasyarakatan
(Pengurusan Pembangunan Islam)


KEPIMPINAN BERTERASKAN QALBU MELALUI PENDEKATAN PEMBANGUNAN INSANIAH


Pendahuluan

Secara umumnya, kepimpinan merupakan amanah sebagai khalifah manusia di bumi yang wujud pada setiap peringkat dari negara hingga individu. Sebagai contoh, kerajaan bertanggungjawab memimpin rakyat, menteri memimpin kementeriannya, ketua memimpin organisasi, suami memimpin isteri, ibu bapa memimpin anak-anak dan diri sendiri memimpin akal, nafsu dan qalbu. Rentetan itu, kepimpinan bukan satu keistimewaan yang perlu dibanggakan dengan jawatan dan pangkat yang dimiliki tetapi ia sesuatu yang membimbangkan kerana ia merupakan amanah dari Allah SWT yang akan dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat kelak. Walaupun kepimpinan merupakan amanah Allah SWT namun sejak kebelakangan ini, pelbagai isu kepimpinan terus timbul dan diperkatakan dari semasa ke semasa. Antaranya, isu kepimpinan tidak beretika yang melibatkan perbuatan rasuah dan pecah amanah sepertimana yang dinyatakan oleh Zaharah Hassan et. (2009). Mengapakah isu kepimpinan masih lagi berlaku sedangkan kepimpinan itu adalah amanah dari Allah SWT dan akan dipersoalkan di akhirat kelak? Menurut Muhammad as-Soghir (1990), masalah kepimpinan yang berlaku sebenarnya ada perkaitan dengan qalbu pemimpin yang kotor. Hal ini kerana qalbu yang kotor akan melahirkan sifat-sifat mazmumah dalam kepimpinannya. Persoalannya, adakah kepimpinan masa kini hanya menekankan unsur-unsur luaran sehingga mengabaikan sifat dalaman iaitu qalbu? Sedangkan kepimpinan dalam Islam adalah lebih bersifat holistik dan merangkumi dunia dan akhirat. Oleh itu, sebagai manifestasi, pendekatan pembangunan insaniah penting dalam membentuk kepimpinan berteraskan qalbu. Dalam penulisan ini akan membincangkan pendekatan pembangunan insaniah dalam membentuk kepimpinan berteraskan qalbu.

Pemimpin Berteraskan Qalbu dengan Pembangunan Insaniah

Sebelum kepimpinan berteraskan qalbu melalui pendekatan pembangunan insaniah dibincangkan lebih mendalam, penulis terlebih dahulu mengemukakan definisi kepimpinan berteraskan qalbu dan pembangunan insaniah. Istilah kepimpinan berteraskan qalbu yang diguna pakai dalam penulisan ini terbina daripada gabungan istilah kepimpinan dan juga qalbu yang membawa maksud kepimpinan yang berpandukan segala perintah dan larangan Allah SWT. Pembangunan insaniah pula merujuk kepada pembangunan seimbang di antara elemen ketahanan mental, kemantapan spiritual dan fizikal kepada manusia.

Rentetan itu, untuk membentuk kepimpinan berteraskan qalbu, setiap pemimpin perlu menerapkan beberapa komponen pembangunan insaniah dalam diri. Hal ini kerana pembangunan insaniah menghubungkan aspek akidah, ibadah dan akhlak dalam kalangan pemimpin. Justeru itu, pembangunan insaniah penting diterapkan oleh pemimpin kerana ia juga membentuk kepimpinan berteraskan qalbu yang melahirkan pemimpin yang berakhlak mulia dan tidak tunduk kepada hawa nafsu. Komponen pembangunan insaniah dalam membentuk kepimpinan berteraskan qalbu merangkumi dua komponen utama iaitu melibatkan komponen spritual dan fizikal dalam kalangan pemimpin. Apabila membincangkan mengenai aspek spritual, aspek utama yang disentuh dalam membentuk kepimpinan berteraskan qalbu adalah mengenai aspek akidah iaitu iman, ilmu dan nafsu. Manakala itu, komponen fizikal pula meliputi aspek ibadah dan akhlak. Penyepaduan antara komponen ini dapat membentuk kepimpinan berteraskan qalbu yang melahirkan pemimpin yang berakhlak mulia.

Bagi komponen spiritual, Imam Ghazali (1977) menyentuh tiga elemen iaitu pertama, taqwa. Kedua, hawa nafsu dan ketiga, lintasan-lintasan hawa nafsu iaitu dari kejahatan kepada kebaikan. Sebenarnya ketiga-tiga ini mempunyai hubungkait. Hal ini kerana, Said Abdul Adzim (2006) menjelaskan maksiat itu melemahkan qalbu. Oleh itu, qalbu memerlukan sesuatu yang menjaga kekuatannya. Asas yang menjaga kekuatan qalbu iaitu keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Rentetan itu, sebagai pemimpin perlu menjauhi diri dari segala perbuatan dosa, maksiat dan segala larangan Allah SWT.  Iqra Firdaus (2016) juga menjelaskan bahawa qalbu menjadi sakit bila kekurangan iman. Dengan kata lain, iman itu penting kepada qalbu agar dapat menghindari daripada menurut hawa nafsu yang lahir daripada bisikan syaitan. Bagi mengukuhkan iman perlu kepada ilmu. Menurut Muhammad Syukri Salleh (2003), iman pemimpin dapat dipertingkatkan dengan melakukan ibadah-ibadah asas yang didasari oleh rukun Islam dan rukun iman, amalan-amalan utama seperti berwirid, berzikir, berdoa dan melakukan perkara-perkara sunat yang digalakkan dalam Islam.

Oleh yang demikian, komponen-komponen pembangunan insaniah iaitu iman dan nafsu sangat berkait rapat. Sekiranya tahap iman menurun, pemimpin mudah mengikut hawa nafsu. Rentetan itu, apabila nafsu mengambil alih pemerintahan maka keseluruhan pemimpin samada dari segi jasmani mahupun rohani akan menerima kesan yang buruk. Justeru itu, seseorang pemimpin perlu menerapkan komponen pembangunan insaniah iaitu komponen spiritual dengan menguatkan tahap keimanan dalam melaksanakan urusan serta menghindarkan anggota fizikal daripada terlibat dengan maksiat.

Aspek akidah, ibadah dan akhlak saling berkait rapat dalam membentuk kepimpinan berteraskan qalbu. Sebagai contoh, solat merupakan ibadah yang boleh menghalang dalam kalangan pemimpin daripada melakukan perbuatan mungkar iaitu perbuatan rasuah dan pecah amanah. Allah SWT menegaskan bahawa solat yang dilakukan oleh pemimpin tersebut boleh mencegah dirinya daripada melakukan dosa-dosa dan kemungkaran. Ini membuktikan hubungkait antara komponen spiritual pembangunan insaniah dapat membentuk kepimpinan berteraskan qalbu. 

Sebagai manifestasi, pembangunan insaniah dapat membentuk kepimpinan berteraskan qalbu iaitu melalui komponen spiritual iaitu aspek akidah iaitu iman, ilmu dan nafsu serta komponen fizikal yang terdiri dari aspek ibadah dan akhlak. Sehubungan itu, pembangunan insaniah juga dapat melahirkan ciri-ciri pemimpin berteraskan qalbu iaitu adil, amanah, berani berjihad kerana Allah SWT dan taat kepada perintah Allah SWT Dengan kata lain, pembangunan insaniah membentuk pemimpin melahirkan sifat-sifat mahmudah dalam kepimpinannya.

Kesimpulan

Pendekatan pembangunan insaniah perlu disebatikan dalam jiwa seseorang pemimpin. Berdasarkan perbincangan sebelum ini, dapat dirumuskan bahawa pendekatan pembangunan insaniah merupakan alternatif bagi membentuk kepimpinan berteraskan qalbu yang dapat diaplikasikan dalam kalangan pemimpin. Hal ini kerana pembentukan kepimpinan berteraskan qalbu mewujudkan sifat rasa berTuhan dalam diri pemimpin dan ia bermatlamatkan untuk mendapatkan keredaan Allah SWT.


Rujukan

Imam Ghazali. (1977). Keajaiban hati. Singapura: Pustaka Nasional Pte Ltd.

Iqro’ Firdaus. (2016). Berdamai dengan hati. Indonesia: Penerbit Safirah.

Muhammad As Soqhir. (1990). Haluan kepimpinan dan siasah dalam arus kebangkitan Islam. Kuala Lumpur: Norzak Compuware.

Muhammad Syukri Salleh. (2003). Tujuh prinsip pembangunan berteraskan Islam. Kuala Lumpur: Zebra Editions Sdn. Bhd.

Said Abdul Azhim. (2006). Rahasia kesucian hati menurut al-qur’an, hadits dan pendapat Ulama. Jakarta, Indonesia: Qultum Media.

Zaharah Hassan, Abu Daud Silong dan Nazri Muslim. (2009). Kepimpinan beretika dan kecemerlangan organisasi dalam perkhidmatan awam. http:// www. academia. edu/1199689/Kepimpinan_beretika_dan_kecemerlangan_organisasi_dalam_perkhidmatan_awam(dilayari pada 7 November 2015).

Monday 3 October 2016

JAGA QALB UNTUK MERAIH KEBAHAGIAAN



Secara umumnya, Imam Ghazali (1977:1) mendefinisikan qalb kepada dua pengertian. Pertama, qalb jasmani iaitu merupakan segumpal daging yang berbentuk bulat panjang dan terletak di dada sebelah kiri yang mempunyai tugas tertentu dan dalamnya ada rongga-rongga yang mempunyai darah hitam sebagai sumber roh. Kedua, qalb rohani, iaitu sesuatu yang halus yang bersifat rabbaniyah (ketuhanan), Qalb rohaniah (kerohanian) mempunyai hubungkait dengan qalbu jasmani. Hati yang halus ialah hakikat manusia. Menurut Imam Ghazali, hati yang dimaksudkan dalam qalb rohani adalah hakikat manusia yang dapat mengetahui, arif yang menjadi sasaran dari segala perintah dan larangan Allah SWT dan juga yang akan diseksa dan dituntut segala amal perbuatannya. Qalb  juga terkait dengan akhlak terpuji yang direalisasikan oleh gerak tubuh. Qalb menentukan sifat dan watak manusia yang tampak secara lahiriah. Rentetan itu, setiap insan perlu menjaga qalb untuk meraih kebahagiaan.

Menjaga qalb sebenarnya bukan sesuatu yang susah. Menurut Iqro Firdaus (2016:127) menjaga hati sangat mudah apabila seseorang insan mengetahui ciri-ciri yang ada pada qalb. Sebagai contoh, qalb dipengaruhi oleh enam unsur iaitu tiga unsur yang cenderung membawa qalb ke arah negatif dan tiga lagi membawa ke arah positif. Tiga unsur negatif iaitu pertama; dunia yang menjadi perhiasan baginya. Kedua, menuruti hawa nafsu yang didorong oleh godaan syaitan dan ketiga penyakit qalb. Sebagai manifestasi, setiap insan perlu menjauhi  qalb daripada unsur negatif ini agar dapat meraih kebahagiaan di dunia dan akhirat. 

Sehubungan itu, qalb perlu dihiasi dengan unsur positif yang terdiri daripada tiga iaitu pertama; ilmu pengetahuan yang memberikan petunjuk. Kedua, akal fikiran yang membawa diri dekat kepada Allah dan ketiga Allah SWT yang ia sembah. Pada hakikatnya, qalb kita dikelilingi oleh semua unsur di atas. Oleh yang demikian, kita perlu menjaga qalb daripada unsur negatif dan menghiasinya dengan unsur-unsur positif untuk meraih kebahagiaan bukan sahaja di dunia malah kebahagiaan di akhirat.