Secara umumnya,
sistem pengurusan kualiti Islam merupakan satu proses yang penting dalam sesebuah organisasi untuk memastikan perjalanan dan pentadbiran berfokuskan
kepada produk atau memberi perkhidmatan selari dengan kehendak dan tuntutan
Syarak. Rentetan itu, Fadzila Azni Ahmad (2010:55) menyatakan bahawa sistem
pengurusan kualiti Islam berbeza dengan pengurusan lazim.Namun beberapa
cabaran perlu diambil berat demi memastikan sistem pengurusan kualiti Islam ini
mampu berdaya saing dengan pesaing-pesaing yang lain di samping ia mematuhi kehendak
Syarak yang ditekankan dalam ajaran Islam.
Antara cabaran yang
perlu dihadapi oleh setiap Muslim pada abad ke-21 kini adalah:
(i) Pembinaan jati diri
Muslim itu sendiri bagi melahirkan individu yang beriman dan bertaqwa sebagai
modal insan berdaya saing yang mampu menggerakkan pembangunan masyarakat,
organisasi dan negara serta mampu mengurusnya seiring dengan perkembangan
semasa;
(ii) Penekanan terhadap
penghayatan dan pengamalan nilai murni, moral dan akhlak Islamiah melalui
budaya fitrah keinsanan serta menggalakkan pembinaan sahsiah menerusi sifat
sabar, amanah, jujur, kerjasama, bersatupadu dan seumpamanya dalam diri setiap
pekerja;
(iii) Membudayakan ciri-ciri positif dalam
bidang pekerjaan seperti mementingkan kecemerlangan, tabah, berpegang pada
fakta, kreatif, inovatif, menghormati kehendak pelanggan dan lain-lain lagi. Pembudayaan
ciri-ciri positif mestilah digerakkan dan sentiasa disuburkan. Oleh kerana
pembudayaan ciri-ciri positif bukanlah tugas mudah, tanggungjawab ini hendaklah
digalas dengan penuh iltizam dan Istiqamah terutamanya oleh pihak
kepimpinan organisasi;
(iv) Memberi penekanan
yang seimbang kepada aspek Insaniyyah (soft aspect) dalam
melaksanakan sebarang program pengurusan, termasuklah program kualiti.
Penekanan yang lebih mementingkan aspek teknikal seperti kepatuhan kepada
prosedur, prosedur dan kerja, output, audit dan statistic kesilapan pekerja
telah menyebabkan program kualiti akhirnya menghadapi masalah dari segi
keberkesanannya. Justeru, aspek Insaniyyah seperti Ihsan,
terbuka, memahami, berpadapada, penambahbaikan berterusan (Istiqamah),
komitmen, telus dan sabar mestilah juga diterapkan dalam program kualiti untuk mendapatkan
hasil dan kesan yang lebih baik;
(v) Penguasaan
kemahiran dan tradisi keilmuan yang berterusan sepanjang zaman menerusi konsep ‘Iqra’
ataupun pembelajaran sepanjang hayat agar generasi akan datang tidak mundur
dengan maklumat-maklumat terkini yang cepat berkembang. Pengisian dan peneguhan
kemahiran dan keilmuan tersebut dapat dilaksanakan dengan menyertai sesuatu
program latihan atau kursus yang bersesuaian pada setiap masa;
(vi) Pemupukan motivasi
dalaman terutamanya menerusi dorongan agama yang lebih mampu bersaing dalam
kalangan pekerja yang meletakkan kejayaan hakiki (al-Falah) dan keredaan
Allah SWT sebagai matlamat utama ketika bekerja. Bukannya pengiktirafan atau
gaji yang berbentuk materialistik semata-mata sebagai ganjaran dan dorongan.
Hal ini demikian kerana pengiktirafan yang berbentuk sementara itu tidak
semestinya adil dan tepat dengan kehendak seseorang, namun balasan akhirat jua
yang lebih adil dan setimpal dengan
setiap tindakan yang
dilakukan oleh seseorang pekerja;
(vii) Cabaran untuk
mewujudkan para pemimpin organisasi yang mampu berperanan serta bijaksana
membuat sebarang keputusan yang benar dan tepat. Di samping mereka mempunyai
akidah yang suci, menjadikan al- Qur’an dan Sunnah Rasulullah SAW sebagai panduan
serta berakhlak mulia, bersifat adil dan saksama terutamanya dalam aspek
pemilihan para pekerja, pembayaran gaji, pengembangan kerjaya, pengagihan
tugasan dan hukuman yang diberikan. Ciri-ciri kepimpinan sebegini selaras
dengan tanggungjawab besar yang telah diamanahkan oleh Allah SWT kepada setiap individu
sebagai Khalifah di muka bumi ini;
(viii) Cabaran terakhir
dan paling besar yang perlu dihadapi dalam sesebuah organisasi ialah keinginan setiap
individu untuk melakukan transformasi diri sendiri ke arah positif pada setiap
masa. Hal ini demikian kerana sesuatu perubahan tidak akan terjadi jika diri
individu itu sendiri enggan
mengubahnya. Perkara ini dijelaskan oleh Allah SWT sebagaimana yang berikut:
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah
sesuatu yang ada pada sesebuah kaum sehingga mereka mengubah perkara yang ada pada diri
mereka sendiri”.
(ar-Ra’d, 13:11).
Secara tuntasnya, sistem
pengurusan kualiti Islam bukanlah hanya terhenti kepada matlamat memberi
kepuasan semata-mata, bahkan hakikat tujuannya adalah mencapai mardatillah (keredaan)
Allah SWT dalam segala urusan di dunia demi kebahagiaan pada hari akhirat
kelak. Rentetan itu, pengurus atau pekerja sesebuah organisasi perlu bersikap
jujur, amanah melaksanakan kerja, berintegriti, tekun dan berdisiplin agar
dapat menghadapi cabaran masa hadapan bagi memastikan sistem pengurusan kualiti
berteraskan Islam berjalan lancar dan lebih berkualiti mengikut syarak. Oleh
yang demikian, memandangkan pentingnya kualiti ini dalam aspek kehidupan insan;
maka tidak dapat tidak ia mesti dijadikan budaya yang sebati terutamanya dalam
melaksanakan suatu sistem pengurusan yang cemerlang (Hasan Al-Banna, Ab Mumin
& Siti Arni, 2011).
Bibliografi
Fadzila Azni Ahmad.
(2010). Kaedah
pengurusan institusi-institusi pembangunan berteraskan Islam di Malaysia. Shah
Alam: Pusat Penerbitan Universiti (UPENA).
Hasan
Al-Banna Mohamed, Ab Mumin Ab Ghani dan Siti Arni Basir. (2011). Pemantapan sistem pengurusan Islam
berkualiti melalui konsep Tawhidi, budaya Itqaan dan nilai ihsan. World Congress
on Islamic Systems 2011 (World-ISLAM 2011).
Hasan
al-Banna Mohamed, Ab. Mumin Ab. Ghani & Siti Arni Basir. (2013). Sistem
pengurusan Islam yang berkualiti mampu menjamin kepuasan pekerja: Suatu realiti
dan cabaran masa hadapan. GJAT. Jun
2013, vol 3 issue 1, 67.
Nurul
Ain Zainul Abidin. (2013). Pelaksanaan pengurusan asas-asas kualiti peribadi
dalam kehidupan nabi Muhammad SAW. Universiti Sains Malaysia: Disertasi yang
diserahkan untuk memenuhi sebahagian keperluan bagi Sarjana Sains
Kemasyarakatan (Pengurusan Pembangunan Islam). Tidak diterbitkan.