Sunday 29 May 2016

Cabaran Masa Hadapan Bagi Sistem Pengurusan Kualiti Berteraskan Islam


Secara umumnya, sistem pengurusan kualiti Islam merupakan satu proses yang penting dalam sesebuah organisasi untuk memastikan perjalanan dan pentadbiran berfokuskan kepada produk atau memberi perkhidmatan selari dengan kehendak dan tuntutan Syarak. Rentetan itu, Fadzila Azni Ahmad (2010:55) menyatakan bahawa sistem pengurusan kualiti Islam berbeza dengan pengurusan lazim.Namun beberapa cabaran perlu diambil berat demi memastikan sistem pengurusan kualiti Islam ini mampu berdaya saing dengan pesaing-pesaing yang lain di samping ia mematuhi kehendak Syarak yang ditekankan dalam ajaran Islam.


Antara cabaran yang perlu dihadapi oleh setiap Muslim pada abad ke-21 kini adalah:

(i) Pembinaan jati diri Muslim itu sendiri bagi melahirkan individu yang beriman dan bertaqwa sebagai modal insan berdaya saing yang mampu menggerakkan pembangunan masyarakat, organisasi dan negara serta mampu mengurusnya seiring dengan perkembangan semasa;

(ii) Penekanan terhadap penghayatan dan pengamalan nilai murni, moral dan akhlak Islamiah melalui budaya fitrah keinsanan serta menggalakkan pembinaan sahsiah menerusi sifat sabar, amanah, jujur, kerjasama, bersatupadu dan seumpamanya dalam diri setiap pekerja;

 (iii) Membudayakan ciri-ciri positif dalam bidang pekerjaan seperti mementingkan kecemerlangan, tabah, berpegang pada fakta, kreatif, inovatif, menghormati kehendak pelanggan dan lain-lain lagi. Pembudayaan ciri-ciri positif mestilah digerakkan dan sentiasa disuburkan. Oleh kerana pembudayaan ciri-ciri positif bukanlah tugas mudah, tanggungjawab ini hendaklah digalas dengan penuh iltizam dan Istiqamah terutamanya oleh pihak kepimpinan organisasi;

(iv) Memberi penekanan yang seimbang kepada aspek Insaniyyah (soft aspect) dalam melaksanakan sebarang program pengurusan, termasuklah program kualiti. Penekanan yang lebih mementingkan aspek teknikal seperti kepatuhan kepada prosedur, prosedur dan kerja, output, audit dan statistic kesilapan pekerja telah menyebabkan program kualiti akhirnya menghadapi masalah dari segi keberkesanannya. Justeru, aspek Insaniyyah seperti Ihsan, terbuka, memahami, berpadapada, penambahbaikan berterusan (Istiqamah), komitmen, telus dan sabar mestilah juga diterapkan dalam program kualiti untuk mendapatkan hasil dan kesan yang lebih baik;

(v) Penguasaan kemahiran dan tradisi keilmuan yang berterusan sepanjang zaman menerusi konsep ‘Iqra’ ataupun pembelajaran sepanjang hayat agar generasi akan datang tidak mundur dengan maklumat-maklumat terkini yang cepat berkembang. Pengisian dan peneguhan kemahiran dan keilmuan tersebut dapat dilaksanakan dengan menyertai sesuatu program latihan atau kursus yang bersesuaian pada setiap masa;

(vi) Pemupukan motivasi dalaman terutamanya menerusi dorongan agama yang lebih mampu bersaing dalam kalangan pekerja yang meletakkan kejayaan hakiki (al-Falah) dan keredaan Allah SWT sebagai matlamat utama ketika bekerja. Bukannya pengiktirafan atau gaji yang berbentuk materialistik semata-mata sebagai ganjaran dan dorongan. Hal ini demikian kerana pengiktirafan yang berbentuk sementara itu tidak semestinya adil dan tepat dengan kehendak seseorang, namun balasan akhirat jua yang lebih adil dan setimpal dengan
setiap tindakan yang dilakukan oleh seseorang pekerja;

(vii) Cabaran untuk mewujudkan para pemimpin organisasi yang mampu berperanan serta bijaksana membuat sebarang keputusan yang benar dan tepat. Di samping mereka mempunyai akidah yang suci, menjadikan al- Qur’an dan Sunnah Rasulullah SAW sebagai panduan serta berakhlak mulia, bersifat adil dan saksama terutamanya dalam aspek pemilihan para pekerja, pembayaran gaji, pengembangan kerjaya, pengagihan tugasan dan hukuman yang diberikan. Ciri-ciri kepimpinan sebegini selaras dengan tanggungjawab besar yang telah diamanahkan oleh Allah SWT kepada setiap individu sebagai Khalifah di muka bumi ini;

(viii) Cabaran terakhir dan paling besar yang perlu dihadapi dalam sesebuah organisasi ialah keinginan setiap individu untuk melakukan transformasi diri sendiri ke arah positif pada setiap masa. Hal ini demikian kerana sesuatu perubahan tidak akan terjadi jika diri individu itu sendiri enggan mengubahnya. Perkara ini dijelaskan oleh Allah SWT sebagaimana yang berikut:

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah sesuatu yang ada pada sesebuah kaum sehingga   mereka mengubah perkara yang ada pada diri mereka sendiri”.
 
(ar-Ra’d, 13:11).

Secara tuntasnya, sistem pengurusan kualiti Islam bukanlah hanya terhenti kepada matlamat memberi kepuasan semata-mata, bahkan hakikat tujuannya adalah mencapai mardatillah (keredaan) Allah SWT dalam segala urusan di dunia demi kebahagiaan pada hari akhirat kelak. Rentetan itu, pengurus atau pekerja sesebuah organisasi perlu bersikap jujur, amanah melaksanakan kerja, berintegriti, tekun dan berdisiplin agar dapat menghadapi cabaran masa hadapan bagi memastikan sistem pengurusan kualiti berteraskan Islam berjalan lancar dan lebih berkualiti mengikut syarak. Oleh yang demikian, memandangkan pentingnya kualiti ini dalam aspek kehidupan insan; maka tidak dapat tidak ia mesti dijadikan budaya yang sebati terutamanya dalam melaksanakan suatu sistem pengurusan yang cemerlang (Hasan Al-Banna, Ab Mumin & Siti Arni, 2011).

Bibliografi

Fadzila Azni Ahmad. (2010).  Kaedah pengurusan institusi-institusi pembangunan berteraskan Islam di Malaysia. Shah Alam: Pusat Penerbitan Universiti (UPENA).

Hasan Al-Banna Mohamed, Ab Mumin Ab Ghani dan Siti Arni Basir. (2011). Pemantapan sistem pengurusan Islam berkualiti melalui konsep Tawhidi, budaya Itqaan dan nilai ihsan. World Congress on Islamic Systems 2011 (World-ISLAM 2011).

Hasan al-Banna Mohamed, Ab. Mumin Ab. Ghani & Siti Arni Basir. (2013). Sistem pengurusan Islam yang berkualiti mampu menjamin kepuasan pekerja: Suatu realiti dan cabaran masa hadapan. GJAT. Jun 2013, vol 3 issue 1, 67.

Nurul Ain Zainul Abidin. (2013). Pelaksanaan pengurusan asas-asas kualiti peribadi dalam kehidupan nabi Muhammad SAW. Universiti Sains Malaysia: Disertasi yang diserahkan untuk memenuhi sebahagian keperluan bagi Sarjana Sains Kemasyarakatan (Pengurusan Pembangunan Islam). Tidak diterbitkan.



No comments:

Post a Comment