Saturday 27 February 2016

PENGURUSAN KUALITI INSTITUSI

Ciri-ciri Pengurusan Kualiti Menurut Perspektif Islam 

Tugasan 1 (SYW501)
Suriadi bin Kamaruding
P-ISM0054/15
Calon Sarjana Sains Kemasyarakatan
 (Pengurusan Pembangunan Islam)


Pendahuluan

Secara umumnya, pengurusan kualiti terdiri daripada dua aspek iaitu pengurusan kualiti lazim dan pengurusan kualiti menurut perspektif Islam. Fadzila Azni Ahmad (2010) menyatakan hanya 11.36% daripada institusi Islam yang menggunakan kaedah pengurusan Islam. Pengurusan kualiti lazim kelihatannya masih dominan digunakan dalam setiap institusi termasuk institusi Islam. Persoalannya, mengapa pengurusan kualiti menurut perspektif Islam masih belum mendapat tempat di institusi Islam? Seharusnya pengurusan kualiti menurut perspektif Islam perlu diberi penekanan terutamanya ke atas pengurusan institusi Islam. Pengurusan kualiti menurut perspektif Islam melibatkan empat aspek iaitu matlamat mencapai keredaan Allah, cara pelaksanaan berlandaskan syariat, mengurus dengan usaha yang baik dan memelihara ibadah khusus.

Pengurusan kualiti menurut perspektif Islam juga dilihat lebih menyeluruh dan menggambarkan suatu nilai dalam sesuatu bentuk yang mempunyai ciri-ciri kebaikan secara umum (Ilhaamie Abdul Ghani Azmi (2001).  Kebaikan tersebut bukannya semata-mata untuk mencari kehendak rohani dan jasmani malah perlu ada keseimbangan di antara kerohanian dengan spiritual (Fadillah Mansor, 2006). Pengurusan kualiti berteraskan Islam lebih baik dan sesuai digunakan dalam Institusi pembangunan Islam kerana mempunyai ciri-ciri yang bukan hanya mementingkan aspek fizikal malah turut mementingkan aspek kerohanian.

Ciri-ciri Pengurusan Kualiti Menurut Perspektif Islam

Secara ringkasnya, kualiti merupakan aspek yang perlu ada dalam setiap pengurusan termasuk produk, perkhidmatan, perniagaan dan sebagainya. Ciri-ciri pengurusan kualiti Islam merujuk kepada ciri-ciri kelayakan diri individu untuk menjadi pengurus yang berkualiti dan ciri-ciri individu yang mengurus seluruh organisasi dan sistem bagi menghasilkan output yang berkualiti. Untuk menjadi pengurus yang berkualiti, seseorang itu perlu takut kepada amaran Allah SWT (Ab. Aziz Yusof, 2015:35). Menurut beliau, pengurus yang takut kepada amaran Allah sentiasa menjaga keterampilan diri, tutur kata dan segala perbuatan yang tidak baik agar menjadi contoh tauladan kepada para pekerja sekaligus dihormati rakan dan diyakini para pelanggan. Sehubungan itu, mereka akan melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin dan sentiasa bertawakal kepada Allah atas hasil kerja yang dilakukan. Ciri-ciri pengurusan seperti ini perlu ditonjolkan dan diamalkan oleh setiap pengurus organisasi agar dapat menyumbang dan memberi manfaat kepada orang lain. Kategori pengurusan organisasi ini ada dijelaskan oleh Allah SWT sebagaimana yang berikut:

“Dan Allah memberikan satu misal perbandingan lagi: dua orang lelaki, salah seorangnya kelu dan pekak daripada semula jadinya, tidak dapat menyatakan apa-apa yang difikirkannya dan tidak dapat pula mendengar apa-apa yang dikatakan kepadanya; dan ia pula menjadi beban kepada orang yang menjaganya; ke mana-mana sahaja ia diarahkan pergi oleh penjaganya, tidak dapatlah dia membawa sesuatu yang berfaedah; adakah dia (yang sedemikan sifatnya) menyuruh orang ramai melakukan keadilan, dan ia sendiri pula berada di atas jalan yang lurus (jalan yang benar?).”
                                                                                             (Surah al-Nahl 16:76)

Ayat di atas menggambarkan perbezaan antara pengurus yang berkualiti  dengan pengurus yang tidak berkualiti dari perspektif Islam. Pengurus yang tidak berkualiti dan tidak produktif  menggambarkan pekerja yang mengharapkan habuan tanpa bersedia memberikan sumbangan. Pengurus seperti ini bukan sahaja tidak menyumbang tetapi pada masa yang sama membebankan orang lain. Persoalannya, apakah kita mahu menjadi pengurus yang tidak berkualiti? Tepuk dada tanya iman.

Ciri-ciri  kerja yang berkualiti

Orang Islam sebagai khalifah dan hamba kepada Allah mempunyai tanggungjawab di muka bumi ini seharusnya berfikir bagaimana cara bagi meningkatkan kualiti pekerjaannya. Dalam konteks ini, untuk meningkatkan kualiti pekerjaan, seseorang itu perlu sedar akan status mereka sebagai hamba dan khalifah Allah SWT sepertimana kata-kata Mohd. Shukri Hanapi (2014) iaitu setiap hamba itu khalifah dan setiap khalifah itu adalah hamba. Seseorang yang sedar tentang peranannya sebagai hamba dan khalifah akan sentiasa menjaga keterampilan diri, tutur kata dan segala perbuatan yang tidak baik agar menjadi ikutan para pekerja. Hal ini kerana mereka yakin bahawa Allah maha melihat akan segala perbuatan dan pekerjaan yang dilakukan dalam kehidupan seharian. Dengan kata lain, mereka yakin bahawa Allah mengawasi pekerjaannya. Dengan ini mereka akan bekerja dengan amanah dan ikhlas untuk mendapatkan keredaan daripada Allah. Perkara ini sekaligus dapat meningkatkan kualiti kerja seseorang. Oleh itu, kualiti kerja dapat dilihat berkait rapat dengan kecemerlangan iaitu mendapat keredaan Allah (Fadillah Mansor, 2006).

Sehubungan itu, Islam sememangnya menggesa pelaksanaan budaya kualiti dan kecemerlangan di dalam melaksanakan kerja dan tanggungjawab. Perkara ini dijelaskan oleh Allah SWT sebagaimana yang berikut:
Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya (neraka) kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh; maka mereka mendapat pahala yang tidak ada putus-putusnya.”
(Surah al-Tin 95:4-6)
Ayat di atas menegaskan bahawa ciri-ciri kualiti yang sempurna itu merujuk kepada sifat-sifat Allah SWT yang Maha Sempurna. Nilai positif ini  merupakan nilai titik tambah kepada potensi seseorang pekerja ke arah mencapai keredaan Allah berasaskan kualiti kerja dan nilai-nilai positif dalam diri.

Kesimpulannya, pengurusan kualiti menurut perspektif Islam perlu dilaksanakan di setiap Institusi Islam kerana matlamatnya adalah untuk mencapai keredaan Allah, Pengurusan kualiti berteraskan Islam turut mementingkan kualiti yang berbentuk holistik. Ukuran kualiti tidak boleh ditentukan hanya dengan menilai produk yang dihasilkan semata-mata. Kualiti meliputi proses yang digunakan, kesan penghasilan produk ke atas pekerja dan sebagainya. Perkara ini menggambarkan penekanan tentang kualiti dalam kerja ini amat ditekankan oleh Islam. Oleh itu, seseorang pekerja itu perlu mengurus masa dengan baik dan merancang pekerjaannya supaya pekerjaan tersebut mencapai objektif dan matlamat yang telah digariskan untuk mencapai keredaan Allah. Kualiti kerja ini ada digambarkan oleh Yusuf Qardhawi (1995) iaitu seseorang Muslim itu takut masanya akan berlalu begitu sahaja tanpa sesuatu pekerjaan yang berfaedah.


Bibliografi

Ab. Aziz Yusof. (2015). Pengurusan organisasi dari perspektif Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ab. Mumin Ab. Ghani dan Fadillah Mansor. (2006). Dimensi pengurusan Islam: Mengurus kerja dan mengurus modal insan. Kuala Lumpur, Universiti Malaya.

Fadzila Azni Ahmad. (2010). Kaedah pengurusan institusi-institusi pembangunan berteraskan Islam di Malaysia. Shah Alam: Pusat Penerbitan Universiti (UPENA).

Ilhaamie Abdul Ghani Azmi. (2001). Pengurusan dari perspektif Islam. Jurnal syariah, 9:2 [2001] 85-102.

Mohd Shukri Hanapi. (2014). Tasawur Islam dan Pembangunan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Nurul Ain Zainul Abidin. (2013). Pelaksanaan pengurusan asas-asas kualiti peribadi dalam kehidupan nabi Muhammad SAW. Universiti Sains Malaysia: Disertasi yang diserahkan untuk memenuhi sebahagian keperluan bagi Sarjana Sains Kemasyarakatan (Pengurusan Pembangunan Islam). Tidak diterbitkan.

Yusuf Qardhawi. (1995). Pengurusan masa menurut Islam. Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publishers.