Monday 3 October 2016

JAGA QALB UNTUK MERAIH KEBAHAGIAAN



Secara umumnya, Imam Ghazali (1977:1) mendefinisikan qalb kepada dua pengertian. Pertama, qalb jasmani iaitu merupakan segumpal daging yang berbentuk bulat panjang dan terletak di dada sebelah kiri yang mempunyai tugas tertentu dan dalamnya ada rongga-rongga yang mempunyai darah hitam sebagai sumber roh. Kedua, qalb rohani, iaitu sesuatu yang halus yang bersifat rabbaniyah (ketuhanan), Qalb rohaniah (kerohanian) mempunyai hubungkait dengan qalbu jasmani. Hati yang halus ialah hakikat manusia. Menurut Imam Ghazali, hati yang dimaksudkan dalam qalb rohani adalah hakikat manusia yang dapat mengetahui, arif yang menjadi sasaran dari segala perintah dan larangan Allah SWT dan juga yang akan diseksa dan dituntut segala amal perbuatannya. Qalb  juga terkait dengan akhlak terpuji yang direalisasikan oleh gerak tubuh. Qalb menentukan sifat dan watak manusia yang tampak secara lahiriah. Rentetan itu, setiap insan perlu menjaga qalb untuk meraih kebahagiaan.

Menjaga qalb sebenarnya bukan sesuatu yang susah. Menurut Iqro Firdaus (2016:127) menjaga hati sangat mudah apabila seseorang insan mengetahui ciri-ciri yang ada pada qalb. Sebagai contoh, qalb dipengaruhi oleh enam unsur iaitu tiga unsur yang cenderung membawa qalb ke arah negatif dan tiga lagi membawa ke arah positif. Tiga unsur negatif iaitu pertama; dunia yang menjadi perhiasan baginya. Kedua, menuruti hawa nafsu yang didorong oleh godaan syaitan dan ketiga penyakit qalb. Sebagai manifestasi, setiap insan perlu menjauhi  qalb daripada unsur negatif ini agar dapat meraih kebahagiaan di dunia dan akhirat. 

Sehubungan itu, qalb perlu dihiasi dengan unsur positif yang terdiri daripada tiga iaitu pertama; ilmu pengetahuan yang memberikan petunjuk. Kedua, akal fikiran yang membawa diri dekat kepada Allah dan ketiga Allah SWT yang ia sembah. Pada hakikatnya, qalb kita dikelilingi oleh semua unsur di atas. Oleh yang demikian, kita perlu menjaga qalb daripada unsur negatif dan menghiasinya dengan unsur-unsur positif untuk meraih kebahagiaan bukan sahaja di dunia malah kebahagiaan di akhirat.

No comments:

Post a Comment