Wednesday 16 March 2016

Kaedah Pemantapan Sistem Pengurusan Kualiti Melalui Konsep Tauhidik


Tugasan 2 (SYW501)
Suriadi bin Kamaruding
P-ISM0054/15
Calon Sarjana Sains Kemasyarakatan
 (Pengurusan Pembangunan Islam)


KAEDAH PEMANTAPAN SISTEM PENGURUSAN KUALITI MELALUI KONSEP TAUHIDIK

Secara umumnya, sistem pengurusan kualiti Islam merupakan satu proses yang penting dalam sesebuah organisasi untuk memastikan perjalanan dan pentadbiran berfokuskan kepada produk atau memberi perkhidmatan selari dengan kehendak dan tuntutan Syarak. Rentetan itu, Fadzila Azni Ahmad (2010:55) menyatakan bahawa sistem pengurusan kualiti Islam berbeza dengan pengurusan lazim. Pengurusan lazim hanya menekankan aspek fizikal, kebendaan dan akauntabiliti yang tidak bersifat hakiki. Dalam Islam, sistem pengurusan kualiti bersifat universal yang merangkumi dua dimensi iaitu lahiriah (material) dan batiniyyah (spiritual). Oleh itu, sistem ini sangat bersesuaian diamalkan di Institusi Islam bagi mencapai matlamat akhir iaitu mendapatkan keredhaan Allah. Walau bagaimanapun, untuk mencapai matlamat tersebut, pengurus memainkan peranan yang penting dan bertanggungjawab bagi memantapkan sistem pengurusan organisasi yang berkualiti dengan berdasarkan perspektif Islam yang menitikberatkan konsep Tauhidik. Penekanan kepada Tauhidik menjadikan sistem pengurusan kualiti lebih bersifat holistik, kemanusiaan dan lebih dekat dengan hati anggota organisasi. Atas dasar ini, konsep Tauhidik yang diperkenalkan oleh tokoh-tokoh Islam mempunyai hubungan sebagai kaedah bagi pemantapan sistem pengurusan kualiti di sesebuah organisasi.

Konsep Tauhidik asalnya diperkenalkan oleh Mohamad Affandi Hassan yang mengemukakan idea mengenai pendekatan tauhid dalam pengurusan. Walaupun begitu, pendekatan terhadap tauhidik ini diperkembangkan lagi oleh Akademi Pengurusan YaPEIM berdasarkan modul pengurusan tauhidik pada tahun 2001. Secara ringkasnya, modul ini bertujuan menerapkan kesedaran mengenai kepentingan untuk melaksanakan prinsip-prinsip Islam serta memperkenalkan kemahiran asas untuk mengaplikasikan nilai pengurusan Islam dalam urusan berorganisasi. Berdasarkan itu, dapat dirumuskan bahawa konsep Tauhidik merupakan tunjang utama bagi umat Islam untuk membuktikan keikhlasan, keyakinan, keimanan dan ketaatan kepada Tuhan Yang Maha Esa.

Sebagai manifestasi, sistem pengurusan yang berkualiti seharusnya perlu terikat dengan pengurusan Islam iaitu konsep Tauhidik kerana ia menekankan kepada pendekatan tauhid yang merupakan inti pati ajaran Islam itu sendiri. Pengurusan organisasi yang menekankan konsep Tauhidik ini akan dapat melahirkan pekerja yang berkualiti dan akan melaksanakan amanah yang diberikan dengan sebaik mungkin. Malah, komitmen yang tinggi terhadap konsep Tauhidik ini turut membuahkan hasil dalam usaha memartabatkan keadilan. Semua tenaga kerja dalam organisasi tidak kira daripada pihak pengurusan sehinggalah kepada subordinat akan memastikan keadilan dan kesaksamaan dalam pemberian hak akan diperoleh semua kakitangan organisasi. Fenomena sebegini bukan sahaja melahirkan nilai kepuasan kepada para pekerja atau pelanggan, namun ia juga memberikan kebahagiaan sejagat yang dapat dikecapi oleh para pekerja atau pelanggan (Hasan Al-Banna, Ab Mumin & Siti Arni, 2011).

Menurut Wan Liz Ozman (1996:50-54), terdapat lapan kesan utama konsep Tauhidik ini terhadap minda, sikap dan tingkah laku seseorang apabila ia diamalkan dengan sebaik mungkin serta meresap masuk ke dalam jiwa sanubari Muslim tertentu, iaitu:

(a) Seseorang tidak akan bersikap tertutup atau sempit pemikirannya, malah beliau akan menjadi seorang pekerja yang berakauntabiliti, integriti, bermaruah, cekap dan berdisiplin.

(b) Konsep ini akan melahirkan pekerja atau pengurus yang mempunyai harga diri yang tinggi (self-respect) serta berkeyakinan diri (self-esteem), di samping bersikap berani menegakkan kebenaran dan membela keadilan.

(c) Semangat Tauhidik ini merangsang individu bersifat Tawadduk (rendah diri), tidak sombong, ujub, takbur walaupun mempunyai kuasa yang besar dalam organisasi. Pengurus dan pekerja membentuk budaya kerja tolong-menolong, bantu-membantu, prihatin dan saling menghormati antara satu sama lain.

(d) Pengurus dan pekerja organisasi mengamalkan nilai-nilai yang murni, amanah, tekun dan istiqamah dalam melaksanakan tanggungjawab.

(e) Individu yang beriman dengan konsep Tauhidik yang sebenar tidak mudah putus asa apabila menimpa musibah atau tidak ingkar ketika menerima pemberian nikmat daripada Allah SWT.

(f) Nilai Tauhidik juga akan membina manusia bersikap tahan sabar, mempunyai keazaman yang tinggi sehinggakan memperoleh petunjuk serta hidayah daripada Allah S.W.T.

(g) Konsep Tauhidik turut menghakis sifat-sifat Mazmumah (negatif) dalam diri seseorang seperti iri hati, dengki, hasad, tamak haloba dan seumpamanya. Jika semangat Tauhidik dapat diterapkan dalam setiap hati sanubari kakitangan dalam sesebuah organisasi, nescaya segala bentuk salah laku etika, penyalahgunaan, penyelewengan, pecah amanah, rasuah dapat dibanteras sepenuhnya.

(h) Konsep Tauhidik akan membentuk insan yang sentiasa patuh dan taat terhadap peraturan serta perintah Allah S.W.T dan rasul-Nya tidak kira masa atau lokasi ia berada. Hal ini demikian kerana individu tersebut akan beriman dan percaya bahawa segala tindakan yang dilakukan di dunia akan dibalas setimpalnya pada hari akhirat kelak.

Kesimpulannya, sistem pengurusan kualiti Islam bukan hanya menjurus kepada matlamat memberi kepuasan pelanggan semata, bahkan hakikat tujuannya adalah mencapai mardhatillah (keredhaan) Allah SWT. Rentetan itu, pengurus atau pekerja sesebuah organisasi akan bersikap jujur, amanah melaksanakan kerja, berintegriti, tekun dan berdisiplin sekiranya konsep Tauhidik dijadikan amalan seharian bagi pemantapan sistem pengurusan yang lancar dan berkualiti. Oleh yang demikian, memandangkan pentingnya kualiti ini dalam aspek kehidupan insan; maka tidak dapat tidak ia mesti dijadikan budaya yang sebati terutamanya dalam melaksanakan suatu sistem pengurusan yang cemerlang (Hasan Al-Banna, Ab Mumin & Siti Arni, 2011).

Bibliografi


Ab. Mumin Ab. Ghani dan Fadillah Mansor. (2006). Dimensi pengurusan Islam: Mengurus kerja dan mengurus modal insan. Kuala Lumpur, Universiti Malaya.

Akademi Pengurusan YaPEIM. (2005). Pengurusan dalam Islam: Menghayati prinsip dan nilai Qurani. Kuala Lumpur: Akademi Pengurusan YaPEIM.

Fadzila Azni Ahmad. (2010). Kaedah pengurusan institusi-Institusi pembangunan berteraskan Islam di Malaysia. Shah Alam: Pusat Penerbitan Universiti (UPENA).

Fadzila Azni Ahmad. (2008). Konsep kualiti lazim dalam ajaran Islam. Di akses daripada http://suekainah.blogspot.my/2008/07/konsep-kualiti-lazim-dalam-ajaran islam.html/pada 18 Mac 2016.

Hasan Al-Banna Mohamed, Ab Mumin Ab Ghani dan Siti Arni Basir (2015). Jurnal nilai-nilai    sistem pengurusan kualiti Islam berasaskan al-Qur'an dan integrasi ilmu saintifik jurnal  syariah, Jil. 23, Bil. 1 (2015) 25-52

Hasan Al-Banna Mohamed, Ab Mumin Ab Ghani dan Siti Arni Basir (2011). Pemantapan sistem pengurusan Islam berkualiti melalui konsep Tawhidi, Budaya Itqaan dan Nilai Ihsan World Congress on Islamic Systems 2011 (World-ISLAM 2011)

Nurhidayah Marzuki @ Yahaya. (2012). Kaedah pengurusan tauhidik: Kajian kes di Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM). Universiti Sains Malaysia: Disertasi yang diserahkan untuk memenuhi sebahagian keperluan bagi sarjana sains kemasyarakatan (Pengurusan pembangunan Islam). Tidak diterbitkan.

Wan Liz Ozman Wan Omar. (1996). Pengurusan Islam abad ke 21: Revolusi pengurusan untuk keunggulan sektor awam dan korporat. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn.Bhd.

No comments:

Post a Comment