Sunday 27 March 2016

KEWAJIPAN SEORANG MUSLIM TERHADAP MASA



Apa kewajipan seorang Muslim terhadap masa?




Secara umumnya, masa itu sangat bernilai dan tidak boleh dimiliki oleh manusia. Hal ini kerana masa itu berlalu pantas seperti awan dan angin yang berlalu. Rentetan itu, masa tidak boleh diumpakan seperti emas , sepertimana  yang terdapat dalam kata pepatah melayu iaitu masa itu emas. Menurut Yusuf al-Qardhawi (2000), masa yang telah berlalu tidak akan kembali semula dan setiap manusia dikurniakan masa yang sama iaitu 24 jam sehari semalam untuk kita menjalani kehidupan seharian. Hanya mereka yang bijak menguruskan masa akan menjalani kehidupan yang teratur sementara mereka yang lain hanya mampu mengeluh mengalami kesuntukan masa. Apakah kita mahu menjadi seperti golongan kedua iaitu sentiasa mengeluh akan masa. Sedangkan Allah yang Maha Adil mengurniakan kita masa yang sama dengan golongan pertama. Islam amat menitik beratkan pengurusan masa yang sistematik dalam kehidupan umatnya. Ini terbukti melalui firman Allah yang bermaksud:

"Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran".
                                       (Surah al-Asr: 1-3)

Surah di atas merupakan panduan agung bagi umat Islam dalam mengurus masa. Kita mengetahui bahawa masa itu ialah kehidupan. Oleh itu, wajiblah ke atas setiap muslim untuk menjaga masanya sepertimana yang dikehendaki oleh Islam.


Memastikan masa diisikan dengan perkara-perkara yang berfaedah

Secara ringkasnya, masa itu sungguh berharga dan setiap manusia menemui dan melalui masa dalam kehidupan seharian. Rentetan itu, sungguh beruntunglah orang yang menggunakan masanya untuk perkara-perkara kebaikan dan rugilah orang yang menggunakan masanya untuk perkara-perkara yang tidak berfaedah. Pepatah arab ada mengatakan "masa itu ibarat pedang, jika kita tidak memotongnya maka ia akan memotong kita". Pepatah ini menggambarkan betapa pentingnya masa dalam kehidupan manusia. Allah S.W.T telah menetapkan masa sebanyak 24 jam atau 1440 minit dalam sehari semalam tidak lebih dan tidak kurang. Namun begitu, apakah kita menggunakan masa itu untuk perkara-perkara yang berfaedah ataupun sebaliknya?. Tepuk dada tanya iman. Sebagai seorang muslim, kewajipan kita adalah mengisi dan memastikan masa diisi dengan perkara-perkara yang berfaedah untuk mencapai matlamat akhir iaitu keredhaan Allah. Maka, untuk mencapai matlamat tersebut, kewajipan seorang muslim hendaklah mengurus masa dengan sebaik baiknya sepertimana pesanan yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW.
 “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara; Masa hidup sebelum mati; Masa sihat      sebelum sakit; Masa lapang sebelum sibuk; Masa muda sebelum tua; Masa kaya sebelum miskin. (Riwayat Imam Muslim dan at-Tirmizi)

Pesanan tersebut sungguh bermakna buat seorang muslim agar tidak membuang masanya dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Seterusnya, kewajipan seorang muslim terhadap masa juga iaitu mengisi masanya dengan amalan-amalan kebajikan. Perkara ini dapat menghindarkan diri seseorang muslim daripada sifat suka menangguhkan kerja dengan alasan keletihan ataupun malas. Justeru itu, al-Qur'an telahpun menjelaskan supaya manusia mendahulukan amalan-amalan kebajikan sebelum didatangi kesibukan. Perkara ini ada dijelaskan oleh Allah sebagaimana dalam firmannya yang bermaksud:

"Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya, oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan, kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu sekalian (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan), sesungguhnya Allah amat berkuasa atas tiap-tiap sesuatu."
(Surah al-Baqarah 2:148).

Kesinambungan itu, setiap muslim itu bertanggungjawab terhadap masanya di hadapan Allah. Maka, sesiapa yang menggunakan masanya ke arah ketaatan kepada Allah hendaklah ia bersyukur dan menyedari bahawa semua itu adalah kurniaan daripada Allah. Sebaliknya, sesiapa yang menghabiskan masanya ke arah kemaksiatan hendaklah ia bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah. Selain itu, kewajipan seorang muslim juga iaitu mengenal pasti masa yang terbaik untuk setiap amalan kebajikannya daripada semua nikmat masa yang dikurniakan oleh Allah.

Kesimpulannya, kewajipan seorang muslim hendaklah menggunakan peluang masa dan nikmat kehidupan yang dikurniakan oleh Allah SWT untuk ia mencipta kecemerlangan hidup di dunia lebih-lebih lagi kehidupan di akhirat. Oleh itu, sebagai seorang Muslim perlu ingat dan sedar lima perkara terhadap masa iaitu pertama, masa hidup adalah masa untuk mentaati Allah SWT dan melakukan perkara-pekara yang bermanfaat untuk bekalan selepas mati. Kedua, masa sihat adalah masa yang mudah bagi melakukan ibadah kepada Allah SWT dan segala perkara kebaikan. Ketiga, masa lapang adalah masa yang boleh digunakan untuk mempertingkatkan diri sama ada untuk ibadah, kerjaya dan menambahkan ilmu. Keempat, masa muda adalah masa yang berpotensi kerana mempunyai tenaga yang kuat dan sanggup menghadapi cabaran untuk membina kecemerlangan. Kelima, masa kaya adalah peluang yang cukup untuk melakukan ibadah atau kebaikan yang memerlukan kebendaan seperti ibadah haji, zakat, wakaf, derma dan sedekah. Dalam usaha mengurus masa dalam kehidupan seharian, kita hendaklah mengamalkan tiga cara sebagai panduan kita. Pertama, jangan bertangguh dalam melaksanakan hak, amanah dan tanggungjawab dan jangan bertangguh dalam melaksanakan tugasan yang diamanahkan. Kedua, jangan bertangguh dalam melaksanakan amal ibadah, juga jangan bertangguh dalam melaksanakan hukum syarak. Ketiga, jangan bertangguh dalam menyebarkan islam dan jangan bertangguh dalam soal memperjuang dan mempertahankan Islam.


Bibliografi

1. Yusuf Qardhawi. (1995). Pengurusan masa menurut Islam. Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publishers.

2. Rafiqa Abdullah Husin. (2004). Pengurusan masa di kalangan pelajar: Kajian terhadap pelajar sarjana muda sains serta pendidikan (pengajian Islam) di Universiti Teknologi Malaysia. Tesis ini dikemukakan sebagai memenuhi sebahagian daripada syarat penganugerahan Ijazah Sarjana Muda Sains serta pendidikan (Pengajian Islam). 

3. https://halaqahfiit.files.wordpress.com/2007/07/pengurusan_masa_menurut_islam.pdf



No comments:

Post a Comment