Tuesday 16 August 2016

Lakukan Sesuatu Biarlah Ikhlas Kerana Allah SWT



Sejujurnya, sebelum ini saya tidak pernah melakar coretan dalam blog dan tidak pernah terlintas pun akan melakar coretan di sini. Namun begitu, alhamdulillah saya sangat bersyukur dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana kerana banyak benda baru yang saya belajar dan ia sangat bermanfaat untuk diri ini dan semoga ia juga dapat dimanfaatkan untuk orang lain. Kalau ikutkan hati memang banyak yang terlintas di hati dan dalam fikiran ini namun ia tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Saya tidak tahu kenapa saya boleh berkomunikasi dengan kawan-kawan dan keluarga tetapi konteks dalam kelas saya lemah dalam berkomunikasi dengan orang lain. Kadang kala saya lebih rela memilih untuk berdiam diri daripada perlu bersuara. Oleh sebab itu, saya lebih berminat untuk melakar coretan dalam blog ini. Hari ini entah kenapa terasa ingin menulis mengenai coretan kata "ikhlas". 

Bak kata pepatah "lakukan sesuatu biarlah ikhlas kerana Allah SWT". Dengan kata lain, hidup ini biarlah berjasa kerana Allah SWT. Inilah pepatah yang sering diungkapkan oleh Ustaz yang mengajar kepada kami semasa berada di tingkatan enam. Saya sentiasa ingat akan pesanan Ustaz ini. Kadang kala bukan susah nak susah dan bukan senang nak senang. Begitu juga dengan ikhlas. Bukan senang nak ikhlas dan bukan susah nak ikhlas. Ikhlas merupakan kata yang mudah diucapkan oleh lisan, namun cukup sulit dihadirkan dan dipertahankan dalam hati. Rentetan itu, lakukan sesuatu biarlah kerana Allah SWT dengan memulakan setiap aktiviti dengan ucapan basmalah dan akhiri dengan alhamdulillah. 

"Biarlah kita hilang sesuatu kerana Allah SWT tetapi jangan kita hilang Allah SWT kerana sesuatu"(Al-Arif Billah al-Habib Abu Bakar bin Muhammad Assegaf). Pepatah ini juga boleh dijadikan salah satu mekanisme untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Sebagai manifestasi, saya juga kongsi serba sedikit berkaitan ikhlas kerana Allah SWT. Ulama Sufyan Ats Tsauri pernah berkata ''sesuatu yang sulit bagiku adalah meluruskan niatku". Hal ini kerana niatku sering berubah-ubah. Perkara ini menggambarkan bahawa niat yang baik atau ikhlas merupakan sesuatu yang sukar dihadirkan dalam hati bagi orang yang melakukan sesuatu bukan kerana Allah SWT. Hati sering berbolak balik, Kadang kala ikhlas dan kadang kala sebaliknya. Namun begitu, amal kebaikan yang dilakukan bukan kerana Allah SWT merupakan sesuatu perbuatan yang sia-sia dan ia akan mendapat azab daripada Allah SWT. Hadith Rasulullah SAW ada menyatakan bahawa tiga orang yang akan masuk neraka terlebih dahulu adalah orang-orang yang melakukan kebaikan namun bukan kerana Allah SWT. Kesimpulannya, kita hendaklah melakukan sesuatu kerana Allah SWT agar mendapat keredaan Allah dan bukan semata-mata untuk mendapat pandangan dan pujian daripada manusia.