Sunday 29 May 2016

Cabaran Masa Hadapan Bagi Sistem Pengurusan Kualiti Berteraskan Islam


Secara umumnya, sistem pengurusan kualiti Islam merupakan satu proses yang penting dalam sesebuah organisasi untuk memastikan perjalanan dan pentadbiran berfokuskan kepada produk atau memberi perkhidmatan selari dengan kehendak dan tuntutan Syarak. Rentetan itu, Fadzila Azni Ahmad (2010:55) menyatakan bahawa sistem pengurusan kualiti Islam berbeza dengan pengurusan lazim.Namun beberapa cabaran perlu diambil berat demi memastikan sistem pengurusan kualiti Islam ini mampu berdaya saing dengan pesaing-pesaing yang lain di samping ia mematuhi kehendak Syarak yang ditekankan dalam ajaran Islam.


Antara cabaran yang perlu dihadapi oleh setiap Muslim pada abad ke-21 kini adalah:

(i) Pembinaan jati diri Muslim itu sendiri bagi melahirkan individu yang beriman dan bertaqwa sebagai modal insan berdaya saing yang mampu menggerakkan pembangunan masyarakat, organisasi dan negara serta mampu mengurusnya seiring dengan perkembangan semasa;

(ii) Penekanan terhadap penghayatan dan pengamalan nilai murni, moral dan akhlak Islamiah melalui budaya fitrah keinsanan serta menggalakkan pembinaan sahsiah menerusi sifat sabar, amanah, jujur, kerjasama, bersatupadu dan seumpamanya dalam diri setiap pekerja;

 (iii) Membudayakan ciri-ciri positif dalam bidang pekerjaan seperti mementingkan kecemerlangan, tabah, berpegang pada fakta, kreatif, inovatif, menghormati kehendak pelanggan dan lain-lain lagi. Pembudayaan ciri-ciri positif mestilah digerakkan dan sentiasa disuburkan. Oleh kerana pembudayaan ciri-ciri positif bukanlah tugas mudah, tanggungjawab ini hendaklah digalas dengan penuh iltizam dan Istiqamah terutamanya oleh pihak kepimpinan organisasi;

(iv) Memberi penekanan yang seimbang kepada aspek Insaniyyah (soft aspect) dalam melaksanakan sebarang program pengurusan, termasuklah program kualiti. Penekanan yang lebih mementingkan aspek teknikal seperti kepatuhan kepada prosedur, prosedur dan kerja, output, audit dan statistic kesilapan pekerja telah menyebabkan program kualiti akhirnya menghadapi masalah dari segi keberkesanannya. Justeru, aspek Insaniyyah seperti Ihsan, terbuka, memahami, berpadapada, penambahbaikan berterusan (Istiqamah), komitmen, telus dan sabar mestilah juga diterapkan dalam program kualiti untuk mendapatkan hasil dan kesan yang lebih baik;

(v) Penguasaan kemahiran dan tradisi keilmuan yang berterusan sepanjang zaman menerusi konsep ‘Iqra’ ataupun pembelajaran sepanjang hayat agar generasi akan datang tidak mundur dengan maklumat-maklumat terkini yang cepat berkembang. Pengisian dan peneguhan kemahiran dan keilmuan tersebut dapat dilaksanakan dengan menyertai sesuatu program latihan atau kursus yang bersesuaian pada setiap masa;

(vi) Pemupukan motivasi dalaman terutamanya menerusi dorongan agama yang lebih mampu bersaing dalam kalangan pekerja yang meletakkan kejayaan hakiki (al-Falah) dan keredaan Allah SWT sebagai matlamat utama ketika bekerja. Bukannya pengiktirafan atau gaji yang berbentuk materialistik semata-mata sebagai ganjaran dan dorongan. Hal ini demikian kerana pengiktirafan yang berbentuk sementara itu tidak semestinya adil dan tepat dengan kehendak seseorang, namun balasan akhirat jua yang lebih adil dan setimpal dengan
setiap tindakan yang dilakukan oleh seseorang pekerja;

(vii) Cabaran untuk mewujudkan para pemimpin organisasi yang mampu berperanan serta bijaksana membuat sebarang keputusan yang benar dan tepat. Di samping mereka mempunyai akidah yang suci, menjadikan al- Qur’an dan Sunnah Rasulullah SAW sebagai panduan serta berakhlak mulia, bersifat adil dan saksama terutamanya dalam aspek pemilihan para pekerja, pembayaran gaji, pengembangan kerjaya, pengagihan tugasan dan hukuman yang diberikan. Ciri-ciri kepimpinan sebegini selaras dengan tanggungjawab besar yang telah diamanahkan oleh Allah SWT kepada setiap individu sebagai Khalifah di muka bumi ini;

(viii) Cabaran terakhir dan paling besar yang perlu dihadapi dalam sesebuah organisasi ialah keinginan setiap individu untuk melakukan transformasi diri sendiri ke arah positif pada setiap masa. Hal ini demikian kerana sesuatu perubahan tidak akan terjadi jika diri individu itu sendiri enggan mengubahnya. Perkara ini dijelaskan oleh Allah SWT sebagaimana yang berikut:

“Sesungguhnya Allah tidak mengubah sesuatu yang ada pada sesebuah kaum sehingga   mereka mengubah perkara yang ada pada diri mereka sendiri”.
 
(ar-Ra’d, 13:11).

Secara tuntasnya, sistem pengurusan kualiti Islam bukanlah hanya terhenti kepada matlamat memberi kepuasan semata-mata, bahkan hakikat tujuannya adalah mencapai mardatillah (keredaan) Allah SWT dalam segala urusan di dunia demi kebahagiaan pada hari akhirat kelak. Rentetan itu, pengurus atau pekerja sesebuah organisasi perlu bersikap jujur, amanah melaksanakan kerja, berintegriti, tekun dan berdisiplin agar dapat menghadapi cabaran masa hadapan bagi memastikan sistem pengurusan kualiti berteraskan Islam berjalan lancar dan lebih berkualiti mengikut syarak. Oleh yang demikian, memandangkan pentingnya kualiti ini dalam aspek kehidupan insan; maka tidak dapat tidak ia mesti dijadikan budaya yang sebati terutamanya dalam melaksanakan suatu sistem pengurusan yang cemerlang (Hasan Al-Banna, Ab Mumin & Siti Arni, 2011).

Bibliografi

Fadzila Azni Ahmad. (2010).  Kaedah pengurusan institusi-institusi pembangunan berteraskan Islam di Malaysia. Shah Alam: Pusat Penerbitan Universiti (UPENA).

Hasan Al-Banna Mohamed, Ab Mumin Ab Ghani dan Siti Arni Basir. (2011). Pemantapan sistem pengurusan Islam berkualiti melalui konsep Tawhidi, budaya Itqaan dan nilai ihsan. World Congress on Islamic Systems 2011 (World-ISLAM 2011).

Hasan al-Banna Mohamed, Ab. Mumin Ab. Ghani & Siti Arni Basir. (2013). Sistem pengurusan Islam yang berkualiti mampu menjamin kepuasan pekerja: Suatu realiti dan cabaran masa hadapan. GJAT. Jun 2013, vol 3 issue 1, 67.

Nurul Ain Zainul Abidin. (2013). Pelaksanaan pengurusan asas-asas kualiti peribadi dalam kehidupan nabi Muhammad SAW. Universiti Sains Malaysia: Disertasi yang diserahkan untuk memenuhi sebahagian keperluan bagi Sarjana Sains Kemasyarakatan (Pengurusan Pembangunan Islam). Tidak diterbitkan.



Tuesday 24 May 2016

MEDIUM TAZKIYAH AL-NAFS



بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ


Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. 

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّد وَعَلَى آلِ مُحَمَّ

Selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW 



  MEDIUM TAZKIYAH AL-NAFS

Secara umumnya, tazkiyah al-nafs bermaksud penyucian, pembersihan dan penyuburan diri. Dengan kata lain, secara lebih terperinci ia adalah suatu usaha yang bersungguh-sungguh untuk membersihkan dan menyucikan jiwa daripada sifat-sifat yang tercela dan merupakan satu proses peralihan dari jiwa yang kotor, ternoda dan tercemar dengan dosa kepada jiwa yang suci bersih (Che Zarrina Sa’ari, 2012). Namun begitu, kini kehidupan moden mempunyai cabaran yang besar iaitu banyak melakukan perkara-perkara yang tidak beretika seperti rasuah, pecah amanah dan tiada sifat rasa berTuhan dalam diri. Sebagai manifestasi, mereka tidak menyedari bahawa masalah yang berlaku bertitik tolak daripada hati. Oleh itu, dalam penulisan ini akan membincangkan secara umum mengenai medium tazkiyah al-nafs.

Menurut Mohd Murtadza Ahmad (2010), terdapat lima medium tazkiyah iaitu pertama, melaksanakan perkara wajib. Kedua, meninggalkan perkara yang haram dan shubhat. Ketiga, Menambahkan kesungguhan untuk melaksanakan perkara yang sunat. Keempat, menjaga adab dan akhlak. Kelima, bergaul dengan orang solihin.

Sehubungan itu,  dapat dilihat perbincangan mengenai medium tazqiyah di atas lebih ditumpukan dalam hal-hal ibadat dan ritual. Namun begitu, dari sudut pengamal tasawuf, medium tersebut mencakupi keseluruhan aspek kehidupan sama ada dari aspek ritual ataupun keduniaan.  Rentetan itu, dakwaan bahawa orang sufi meninggalkan keduniaan adalah dakwaan yang melampau. Golongan ini sebenarnya amat berwaspada dari melampaui ketentuan Allah. Ini kerana Allah sendiri membenci segala yang melampaui batas.

Oleh yang demikian, kefardhuan yang ditetapkan oleh Allah akan membawa kebahagiaan buat orang yang melakukannya. Ianya adalah punca kebaikan dan kesejahteraan hidup di dunia mahupun akhirat. Ketaqwaan itu sendiri adalah punca penyelesaian kepada sebarang kesulitan dan kepayahan hidup.  Hal ini diingatkan oleh Allah dalam ayat seribu dinar yang sering menjadi amalan masyarakat dalam urusan perniagaaan. Ibn ‘Ata’illah di dalam al-Hikam ada menyatakan yang bermaksud;

 Allah jadikan kamu adalah untuk mentaati-Nya dan tidak Dia menjadikannya kecuali supaya kamu masuk ke dalam Syurga-Nya.

Sebagai manifestasi, tazkiyah al-nafs  juga mencakupi usaha untuk meninggalkan larangan dan perkara yang boleh membawa kepada haram. Mohd Haris Hairun Paezi (2010) mengambil pandangan ulama iaitu Ibrahim al-Khawwas yang menyatakan lima perkara boleh menyucikan hati iaitu pertama, membaca al-qur’an dan tadabbur. Kedua, mendirikan solat malam. Ketiga, mengosongkan perut. Keempat, berdoa dengan penuh tawadhuk di hujung malam. Kelima, duduk bersama orang-orang soleh.

Kesimpulannya, tazkiyah al-nafs amat penting sebagai medium dalam kehidupan manusia mencari kesejahteraan hidup di dunia mahupun akhirat. Rentetan itu, tazkiyah tidak bermaksud menolak perkembangan kehidupan semasa tetapi ia sebagai medium untuk mengawal daripada kerosakan hatinya. Sebagai manifestasi, tazkiyah al-nafs membentuk jiwa manusia lebih dekat kepada Allah. Dengan kata lain, ia mendorong seseorang melakukan segala yang disyariatkan oleh Islam secara istiqamah. Oleh itu, tazkiyah perlu melalui pelbagai kaedah di samping hidayah dan taufiq daripada Allah.

Bibliografi
Che Zarrina Sa'ari dan Sharifah Basirah Syed Muhsin. (2012). Cadangan model psikoterapi remaja Islam berasaskan konsep tazkiyah al-nafs. Jurnal usuluddin (Julai-Disember 2012) 36:49-74.
Mohd Haris Hairun Paezi. (2008). Ubat hati. Diakses dari http://mindvision. com.my/Dari%20  Pena_Ubat%20Hati.htm pada 23 Mei 2016.
Mohd Murtadza Ahmad. (2010). Tazkiyah al-nafs dalam ilmu tasawuf. Diakses dari http://www.muftins.gov.my/index.php/arkib2/tareqat-tasauwuf/162-koleksi-kertas-kerja/634- tazkiyah pada 23 Mei 2016.



Friday 6 May 2016

Konsep Insaniyyah Dalam Sistem Pengurusan Kualiti Berteraskan Islam

Tugasan 3 (SYW501)
Suriadi bin Kamaruding
P-ISM0054/15
Calon Sarjana Sains Kemasyarakatan
(Pengurusan Pembangunan Islam)


Pendahuluan

Secara umumnya, sistem pengurusan kualiti berteraskan Islam merupakan satu proses penting bagi memastikan perjalanan dan pentadbiran sesebuah organisasi selari dengan kehendak dan tuntutan syarak (Hasan Al-Banna Mohamed, Ab Mumin Ab Ghani dan Siti Arni Basir, 2011). Namun begitu, sistem pengurusan kualiti berteraskan Islam mempunyai cabaran masa hadapan. Antara cabaran tersebut iaitu penekanan terhadap aspek insaniyyah dalam melaksanakan sebarang program pengurusan termasuklah program kualiti. Oleh itu, dalam penulisan ini akan memfokuskan kepada prinsip asas pertama dalam pengurusan kualiti berteraskan Islam iaitu konsep insaniyyah.

Konsep Insaniyyah

Konsep insaniyyah merupakan prinsip pertama dalam sistem pengurusan kualiti menurut perspektif Islam (Hasan al-Banna Mohamed, Ab. Mumin Ab. Ghani dan Siti Arni Basir, 2013). Konsep insaniyyah memberi gambaran bahawa sistem pengurusan kualiti Islam lebih bersifat holistik yang meletakkan prinsip asas seperti konsep insaniyyah sebagai panduan untuk memperbaiki sistem pengurusan kualiti yang wujud di Barat dan Timur. Sebagai manifestasi, konsep insaniyyah jika diamalkan di institusi sudah tentu dapat melahirkan pengurusan yang berkualiti sekaligus memberi kepuasan dalam bekerja. Selain itu, konsep insaniyyah juga boleh mencapai matlamat akhir iaitu mencapai redha Allah SWT. Oleh yang demikian, penulisan ini akan membincangkan mengenai konsep insaniyyah dalam sistem pengurusan kualiti berteraskan Islam.

Sehubungan itu, konsep insaniyyah dalam sistem pengurusan kualiti berteraskan Islam merupakan salah satu alternatif bagi memastikan sistem pengurusan berkualiti dapat diaplikasikan dengan sebaiknya oleh pihak pengurusan terutama di Institusi Islam. Rentetan itu, Sidek Baba (2012) menegaskan bahawa Allah SWT mencipta alam sejagat ini berlandaskan sunnatullah bermula daripada kejadian manusia, jin, haiwan, makhluk-makhluk lain dan pelbagai lagi kejadian-Nya dengan kesempurnaan dan ketertiban yang tinggi. Setelah itu, dimuliakan insan ataupun manusia tersebut dengan sebaik-baik kejadian (Ahsan al-Taqwim) dengan kurniaan hidayah dan cahaya petunjuk kepada mereka.  Penciptaan manusia sebagai insan fitrah sejak lahir lagi perlu disusun dan diatur mengikut landasan al-Qur’an dan Hadis Rasulullah SAW agar ia berfungsi sebagai insan yang berkualiti.

Sebagai manifestasi, seseorang insan yang memberi penekanan terhadap konsep Insaniyyah (kemanusiaan sejati) dalam pengurusan kualiti berteraskan Islam sudah tentu akan melaksanakan segala tanggungjawab dengan penuh amanah kerana yakin dengan kehendak dan ketetapan Allah SWT. Namun begitu, untuk melaksanakan segala tanggungjawab dengan amanah itu bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan rasa kehambaan terhadap Allah SWT. Dengan kata lain, rasa kehambaan terhadap Allah SWT harus disebatikan dalam diri agar patuh dan tunduk kepada setiap perintah dan larangan Allah SWT. Perkara ini dijelaskan oleh Allah SWT sebagaimana yang berikut:
     “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk menyembah dan beribadah kepada-Ku.”
                                                                                              (adz-Dzariyat, 51:56).

Ayat di atas memberikan gambaran dan panduan bahawa manusia sebagai hamba perlu tunduk dan patuh kepada setiap perintah dan larangan Allah SWT.

Kesimpulan

Konsep insaniyyah perlu disebatikan dalam jiwa seseorang sama ada pihak pengurusan atasan ataupun peringkat bawahan. Berdasarkan perbincangan sebelum ini, dapat dirumuskan bahawa konsep insaniyyah merupakan alternatif bagi memastikan sistem pengurusan kualiti dapat diaplikasikan oleh pihak pengurusan terutama di Institusi Islam. Konsep insaniyyah ini juga penting bagi memastikan perjalanan dan pentadbiran sesebuah organisasi selari dengan kehendak dan tuntutan syarak.  Rentetan itu, konsep insaniyyah juga dapat memberikan kepuasan dalam bekerja di kalangan kakitangan organisasi. Oleh sebab itu, konsep insaniyyah ini perlu diterap di institusi Islam kerana konsep pengurusan kualiti ini berbeza dengan konsep kualiti dari perspektif lazim (Fadzila Azni Ahmad, 2010:286).

Bibliografi

Fadzila Azni Ahmad. (2010). Kaedah pengurusan institusi-institusi pembangunan berteraskan Islam di Malaysia. Shah Alam: Pusat Penerbitan Universiti (UPENA).

Hasan Al-Banna Mohamed, Ab Mumin Ab Ghani dan Siti Arni Basir. (2011). Pemantapan sistem pengurusan Islam berkualiti melalui konsep tawhidi, budaya itqaan dan nilai ihsan. World Congress on Islamic Systems 2011 (World-ISLAM 2011).

Hasan al-Banna Mohamed, Ab. Mumin Ab. Ghani & Siti Arni Basir. (2013). Sistem pengurusan Islam yang berkualiti mampu menjamin kepuasan pekerja: Suatu realiti dan cabaran masa hadapan. GJAT. Jun 2013, vol 3 issue 1, 67.

Sidek Baba. (2012). Pengurusan Islami: Aplikasi ihsan dan insan. Kuala Lumpur: Techknowlogic Trading Sdn. Bhd.